Jumaat, 12 Jun 2020 | 7:46am

Eropah buka sempadan ketika COVID-19 merebak dengan cepat di Afrika

BRUSSELS: Kesatuan Eropah (EU) mengukuhkan rancangan untuk membuka semula sempadan dalaman pada Khamis, ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran jumlah kes COVID-19 semakin meningkat di Afrika.

Suruhanjaya Eropah mengesyorkan 27 negara anggota EU membuka semula sempadan antara mereka pada 15 Jun dan antara barat Balkan mulai 1 Julai.

Sempadan Eropah dengan dunia luar akan dibuka secara beransur-ansur selepas itu - dan hanya ke negara-negara di mana pandemik itu dilihat terkawal.

Amerika Syarikat (AS), yang mempunyai jumlah kematian dan jangkitan tertinggi di dunia, kini menyaksikan jumlah kes melepasi angka dua juta pada Khamis.

Setiausaha Perbendaharaan, Steven Mnuchin, berkata ekonomi AS akan dibuka semula walaupun terdapat gelombang jangkitan kedua kerana Wall Street ditutup berikutan kebimbangan coronavirus

"Sekiranya anda menutup ekonomi, anda akan membuat lebih banyak kerosakan," kata Mnuchin.

Russia turut melepasi 500,000 kes positif dan Iran pula 180,000 kes.

Kes kematian di Amerika Latin melepasi angka 70,000 pada Rabu dengan separuhnya direkodkan di Brazil.

WHO turut mengeluarkan amaran berhubung peningkatan kes ketara di Afrika walaupun kes di benua itu hanya sebahagian kecil daripada jumlah kes global.

"Ia mengambil masa 98 hari untuk mencecah 100,000 dan hanya 18 hari diperlukan untuk kes meningkat kepada 200,000," kata Pengarah Serantau WHO Untuk Afrika, Dr Matshidiso Moeti. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X