Ahad, 7 Jun 2020 | 6:51am

COVID-19: Hampir 400,000 korban, 6.8 juta kes jangkitan

PARIS: Wabak COVID-19 telah meragut sekurang-kurang 397,179 nyawa di seluruh dunia sejak tercetus di China pada Disember tahun lalu, menurut satu penjumlahan daripada sumber rasmi dikumpulkan oleh AFP, setakat jam 7 malam tadi.

Sekurang-kurang 6,827,260 kes jangkitan direkodkan di 196 negara dan wilayah. Daripada jumlah itu, sekurang-kurang 2,963,800 kes dilaporkan pulih.

Namun, jumlah menggunakan data dikumpulkan AFP daripada pihak berkuasa kebangsaan dan maklumat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu berkemungkinan hanya sebahagian daripada angka sebenar kes jangkitan.

Ini berikutan banyak negara hanya melakukan ujian saringan terhadap kes bergejala atau yang paling serius.

Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling terkesan dengan mencatatkan 109,497 korban daripada 1,908,235 kes jangkitan, setakat ini. Sekurang-kurang 491,706 pesakit pula dilaporkan telah sembuh.

Ini disusuli Britain dengan 40,465 kematian daripada 284,868 kes jangkitan; Brazil (35,026 kematian, 645,771 jangkitan); Itali (33,846 kematian, 234,801 jangkitan); dan Perancis (29,111 kematian, 190,052 jangkitan).

Negara mencatatkan kadar korban tertinggi berbanding jumlah penduduk ialah Belgium dengan 83 kematian bagi setiap 100,000 orang, diikuti Britain (60), Sepanyol (58), Itali (56) dan Sweden (46).

China, tidak termasuk Hong Kong dan Macau, mengisytiharkan 4,634 kematian serta 83,030 kes jangkitan akibat COVID-19, setakat ini. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X