Ahad, 31 Mei 2020 | 1:34pm

COVID-19: Lebih 6 juta kes disahkan di seluruh dunia

PARIS: Lebih enam juta kes COVID-19 disahkan di seluruh dunia dengan dua per tiga daripada jumlah itu direkodkan di Eropah dan Amerika Syarikat (AS), menurut penjumlahan oleh AFP, semalam.

Setakat jam 8.15 malam tadi, sekurang-kurang 6,000,867 jangkitan dan 366,848 kematian telah dilaporkan.

Eropah yang kekal benua paling terkesan dengan pandemik itu mencatatkan 2,135,170 kes jangkitan dan 177,595 korban.

Namun, penjumlahan menggunakan data dikumpul oleh AFP daripada pihak berkuasa kebangsaan dan maklumat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu berkemungkinan hanya sebahagian daripada angka jangkitan sebenar.

Banyak negara hanya melakukan ujian saringan terhadap kes bergejala atau yang paling serius.

AS masih menjadi negara paling terjejas dengan 1,760,740 kes jangkitan dan 103,472 kematian.

Bagaimanapun, virus itu kini menular pantas di Amerika Latin yang mencatatkan lebih 45,000 kes dalam tempoh 24 jam lalu, sekali gus menjadikan jumlah mencecah 944,695 jangkitan dan 49,230 korban.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X