Ahad, 31 Mei 2020 | 9:33am
Kawasan pantai di London mula dipenuhi pengunjung susulan langkah kerajaan melonggarkan peraturan perintah berkurung. - FOTO AFP
Kawasan pantai di London mula dipenuhi pengunjung susulan langkah kerajaan melonggarkan peraturan perintah berkurung. - FOTO AFP

COVID-19: Saintis beri amaran terlalu awal tarik balik perintah berkurung di UK

LONDON: Penasihat kanan kepada kerajaan Perdana Menteri, Boris Johnson, menegaskan bahawa adalah terlalu awal untuk menarik balik pelaksanaan perintah berkurung.

Mereka memberikan amaran itu, semalam, hanya dua hari sebelum United Kingdom (UK) melonggarkan lagi sekatan dikuatkuasakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Beberapa anggota Kumpulan Penasihat Saintifik untuk Kecemasan (SAGE) bawah kerajaan memaklumkan kepada menteri, gelombang kedua jangkitan dikhuatiri tercetus ketika negara ini menyaksikan orang ramai mula memenuhi kawasan pantai dan taman awam.

Seorang daripada mereka ialah pakar epidemiologi, Prof John Edmunds, yang menyifatkan langkah kerajaan itu sebagai 'keputusan bermotifkan politik'.

Seorang lagi saintis terkemuka, Sir Jeremy Farrar yang juga Pengarah Wellcome Trust dan anggota SAGE, memberi amaran jelas dalam Twitter bahawa tindakan kerajaan itu tidak kena pada masanya.

"COVID-19 merebak terlalu pantas untuk perintah berkurung ditarik balik di England.

"Pelaksanaan ujian saringan, pengesanan dan pengasingan (TTI) harus diteruskan serta berkesan sepenuhnya, mampu menangani sebarang lonjakan kes dengan serta-merta, responsif dan memberi keputusan pantas, serta kadar jangkitan perlu lebih rendah," tulis Farrar.

Mulai esok, kerajaan akan melonggarkan lagi peraturan perintah berkurung yang berkuat kuasa sejak Mac lalu, dengan membuka semula sebahagian sekolah di England dan membenarkan hingga enam individu bukan serumah untuk mengadakan pertemuan di luar.

Seorang menteri, Oliver Dowden, ketika mengulas amaran itu berkata memang betul untuk menyuarakan peringatan supaya berjaga-jaga.

Namun, beliau menegaskan, kumpulan penasihat saintifik kerajaan itu dibarisi lebih 50 saintis yang ada pandangan masing-masing.

"Kerajaan mengambil pandangan kolektif daripada keseluruhan nasihat SAGE," katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Perubatan, Jonathan Van-Tam yang bersama Dowden pada taklimat harian COVID-19, memaklumkan SAGE mempunyai 'tahap keyakinan tinggi' bahawa penjarakan sosial dan langkah lain berterusan yang digabungkan dengan pengesanan kontak secara berkesan, tidak akan mendorong kadar pemindahan R meningkat melebihi angka kritikal.

Ringkasnya, angka R adalah pengiraan bilangan orang dijangkiti daripada individu pembawa virus itu secara purata. Jika nilai R ialah satu, setiap pembawa virus memindahkannya kepada seorang yang lain.

Britain muncul negara kedua paling terkesan dengan COVID-19 selepas Amerika Syarikat (AS), dengan merekodkan lebih 38,000 kematian dan 270,000 kes jangkitan, setakat ini.

Antara kelonggaran sekatan yang telah diberikan ialah penduduk di England dibenarkan keluar bersenam dan berjemur secara tanpa had di taman sejak 13 Mei lalu.

Secara keseluruhan setakat ini, lima penasihat kerajaan sudah menyuarakan kebimbangan berhubung penarikan balik perintah berkurung, selain ahli politik termasuk Datuk Bandar London dan Manchester. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X