Selasa, 26 Mei 2020 | 10:50pm
Tenor tersohor Itali, Andrea Bocelli. - Foto AFP
Tenor tersohor Itali, Andrea Bocelli. - Foto AFP

Penyanyi tenor tersohor Itali dakwa dijangkiti COVID-19

ROM: Penyanyi tenor tersohor Itali, Andrea Bocelli, mendakwa dirinya positif COVID-19, namun hari ini berkongsi keadaannya sudah pulih.

Katanya, pengalaman dijangkiti virus itu ibarat mimpi buruk bagi beliau yang cacat penglihatan sejak berusia 12 tahun.

Namun beliau komited menaikkan semangat warga Itali supaya tidak mengalah dengan pandemik yang mengorbankan lebih 33,000 nyawa di negara itu, dengan membuat nyanyian solo di Duomo Milan pada 12 April lalu.

Lebih sebulan selepas konsert terbabit, penyanyi berusia 61 tahun itu dikatakan positif wabak berkenaan ketika menjalani ujian saringan.

"Ia satu tragedi, seluruh keluarga turut sama dijangkiti," katanya kepada wartawan di sebuah hospital di Pisa selepas menderma plasma.

Katanya beliau dan isteri mendermakan plasma darah untuk digunakan dalam penyelidikan perubatan bagi rawatan menggunakan antobodi pesakit yang sudah sembuh.

Tambah Bocelli, keluarganya mengalami demam tetapi bersyukur suhu badan tidak terlalu tinggi, namun kerap bersin dan batuk.

"Saya terpaksa batalkan banyak konsert kerana dijangkiti COVID-19, ini di luar kawalan saya dan cuma berharap dapat kembali bangun dan kembali kepada kehidupan biasa.

Penyanyi yang mencapai jualan lebih 90 juta rekod di seluruh dunia itu bersyukur kepada tuhan kerana dia bukan ahli politik yang perlu membuat keputusan penting mengenai COVID-19.

Katanya, banyak khabar angin dan berita palsu disebarkan mengenai virus itu sehingga mencetuskan ketakutan terutama di Itali, di mana wabak itu dianggap sudah melepasi puncaknya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X