Selasa, 26 Mei 2020 | 7:11pm
Jururawat, Irina Afonina merawat lelaki di rumahnya di Moscos. - Foto AFP
Jururawat, Irina Afonina merawat lelaki di rumahnya di Moscos. - Foto AFP

Russia catat kematian harian tertinggi COVID-19

MOSCOW: Meskipun Russia mencatatkan 174 kematian iaitu korban harian tertinggi akibat COVID-19 setakat ini, 12,000 pesakit berjaya dipulihkan dalam tempoh 24 jam.

Menurut pegawai kesihatannya, Russia kini merekodkan 362,342 kes jangkitan virus itu termasuk 3,807 kematian, menjadikannya negara ketiga tertinggi dunia selepas Amerika Syarikat (AS) dan Brazil.

Katanya, jumlah kes baharu semakin berkurangan dan pihak berkuasa mula melonggarkan perintah berkurung bagi sesetengah bahagian di negara itu.

Bagaimanapun, kemunculan 8,915 kes baharu dalam tempoh 24 jam menurut perangkaan rasminya, selain 12,331 pesakit pulih, menandakan Russia sudah melepasi puncak penularan jangkitan.

Justeru, pelbagai sekatan dilonggarkan di kebanyakan kawasan walaupun Moscow yang masih teruk dilanda wabak, diletakkan di bawah perintah berkurung ketat hingga akhir bulan ini.

Semalam, Presiden Russia, Vladimir Putin, muncul di kawasan di bawah perintah berkurung di Kremlin, selepas beliau dilaporkan hanya bekerja dari kediaman yang terletak di luar Moscow sejak beberapa minggu lalu.

Russia mencatatkan angka kematian lebih rendah berbanding negara lain dengan kadar jangkitan yang hampir sama, sehingga pihak berkuasa dituduh menyembunyikan angka sebenar mangsa COVID-19.

Kementerian Kesihatan memberi alasan ia berpunca daripada pendekatan Russia hanya mengira kematian disebabkan virus secara langsung, tidak seperti beberapa negara yang mengira semua kematian membabitkan orang yang dijangkiti. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X