Rabu, 20 Mei 2020 | 2:13pm
Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofven.
Perdana Menteri Sweden, Stefan Lofven.

COVID-19: Sweden lawan pandemik umpama larian marathon

STOCKHOLM: Sweden melaksanakan pendekatan lembut terhadap sekatan susulan penularan pandemik COVID-19, walaupun peraturan di negara itu mungkin berkuatkuasa lebih lama berbanding negara lain.

Perdana Menterinya, Stefan Lofven, berkata pertempuran dengan COVID-19 umpama larian marathon sambil menambah, pegawainya juga sangat percaya langkah mereka dapat dilaksanakan dalam tempoh panjang.

Ketika rakyat di negara Eropah lain secara berperingkat mula kembali ke tempat kerja masing-masing beberapa minggu kebelakangan ini, Sweden mengambil pendekatan berbeza apabila menggiatkan nasihat untuk rakyat terus bekerja dari rumah untuk berbulan lamanya.

Kesatuan Eropah (EU) pula mula merancang untuk membenarkan semula perjalanan secara berfasa pada musim panas ini, namun negara Scandinavia itu memberitahu rakyatnya supaya bercuti di rumah sahaja.

Tindakan itu sekali gus melanjutkan nasihat supaya menangguhkan perjalanan yang tidak penting sehingga sekurang-kurangnya 15 Julai hingga pertengahan bulan percutian utama negara.

Sekatan lain merangkumi pengembaraan, sukan dan kunjung mengunjungi rumah turut kekal, meskipun terdapat negara lain membenarkan aktiviti itu ketika perintah berkurung berlangsung.

Bagaimanapun, Sweden tidak akan mengenakan perintah berkurung sepenuhnya kerana negara itu sudah pun membenarkan mereka berumur 16 tahun ke bawah ke sekolah dan tiada halangan ke kafe, bar atau restoran.

Meskipun orang ramai dinasihatkan supaya mengehadkan kontak dan mengamalkan penjarakan sosial, namun sekatan itu cuma berbentuk nasihat.

"Nampaknya sangat mudah untuk memulakan perintah berkurung, tetapi menghentikannya jauh lebih sukar," kata ahli epidemiologi negeri Agensi Kesihatan Awam, Anders Tegnell kepada AFP.

Beliau menegaskan, kesukaran orang awam adalah untuk mematuhi syor apabila 'suatu hari nanti anda perlu buat ini dan hari selepas itu anda perlu lakukan perkara lain'.

Menurut laporan, walaupun hospital di Sweden dalam keadaan tertekan, namun ia tidak mengalami masalah.

Sementara itu, Ketua Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Michael Ryan, berkata jika semua pihak mahu kembali dalam masyarakat yang mana tidak memerlukan lagi perintah berkurung, maka semua perlu mengadaptasi amalan baharu dalam tempoh medium atau jangka masa lebih panjang.

Beliau juga mencadangkan Sweden boleh menjadi model masa depan kerana banyak boleh dipelajari dari negara itu. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X