Rabu, 20 Mei 2020 | 10:05am

COVID-19: 41,000 angka kematian di UK, 10,000 di rumah jagaan

LONDON: Angka kematian rasmi COVID-19 Britain adalah sekurang-kurangnya 41,000 dengan hampir 10,000 mati di rumah jagaan di England dan Wales sahaja, menurut kemas kini statistik yang dikeluarkan semalam.

Kira-kira 41,020 kematian di mana COVID-19 dinyatakan dalam sijil kematian telah didaftarkan di seluruh United Kingdom (UK) pada 8 Mei, menurut Pejabat Statistik Nasional (ONS).

Dengan ratusan kematian masih dilaporkan setiap hari, ini bermakna jumlah korban sekarang, yang paling tinggi di Eropah dan kedua selepas Amerika Syarikat (AS) dalam kedudukan global, kemungkinan akan lebih tinggi.

Jumlah rasmi oleh kerajaan hanya mencatatkan kematian selepas ujian positif, dan semalam berjumlah 35,341, meningkat 545 daripada hari sebelumnya.

Angka ONS menunjukkan penurunan mendadak dalam kematian COVID-19 pada minggu sehingga 8 Mei, menguatkan dakwaan menteri-menteri bahawa Britain telah mencapai puncaknya.

Pada umumnya, kematian di rumah jagaan jatuh pada kadar yang lebih perlahan daripada populasi, dan jumlah kematian di rumah jagaan di England dan Wales kini berjumlah 9,975.

Kerajaan Perdana Menteri Boris Johnson mendapat kritikan hebat atas cara pengendaliannya untuk COVID-19, terutama bagi tempoh waktu yang diperlukan bagi memperkenalkan ujian yang meluas.

Sebuah jawatankuasa Parlimen antara parti semalam mengkritik keputusan yang pada awalnya memusatkan ujian di sebilangan kecil makmal.

"Sejak itu, diikuti keputusan pada 12 Mac untuk menghentikan pengujian dalam masyarakat dan berbalik kepada pengujian terutama di hospital," katanya, memberi amaran bahawa itu menyebabkan penduduk rumah jagaan tidak diuji.

Pada taklimat media harian kerajaan, Timbalan ketua penasihat saintifik England, Angela McLean, mengakui bahawa keupayaan yang terbatas mengehadkan strategi dalam ujian.

"Itu yang terbaik dapat dilakukan untuk ujian yang kami laksanakan. Kita tidak boleh membuatkan orang di hospital dengan gejala COVID-19 tidak mengetahui sama ada mereka menghidap COVID-19 atau tidak," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Kesihatan, Matt Hancock, memberitahu Parlimen bahawa beliau gembira kematian di rumah jagaan menurun.

"Sebanyak 62 peratus rumah jagaan di England sama sekali tidak melaporkan kes COVID-19," katanya. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X