Ahad, 10 Mei 2020 | 8:42am
Dua individu yang dikesan positif COVID-19 di sebuah kawasan perumahan di Nantes, dikawal oleh petugas kesihatan daripada
Dua individu yang dikesan positif COVID-19 di sebuah kawasan perumahan di Nantes, dikawal oleh petugas kesihatan daripada

Perancis, Sepanyol siap sedia longgar perintah berkurung

PARIS: Rakyat Perancis dan Sepanyol, dua negara Eropah yang paling teruk dilanda pandemik COVID-19, bersiap sedia untuk melonggarkan perintah berkurung bermula Isnin, ketika kerajaan masih berusaha menyeimbangkan antara tuntutan ekonomi dan prospek kematian terbaharu pada jumlah lebih besar.

Di Amerika Syarikat (AS), Presiden Donald Trump berdepan kritikan hebat dari bekas pemimpin nombor satu negara itu, Barack Obama yang menyifatkan beliau sebagai satu kemusanahan besar.

Virus berkenaan meragut lebih daripada 78,000 nyawa di AS, manakala jumlah kematian seluruh dunia sudah melepasi 276,000 dengan hampir empat juta jangkitan.

Perintah berkurung dan kemelut ekonomi menyebabkan jutaan penduduk kehilangan pekerjaan seluruh dunia.

Meskipun begitu, beberapa negara Eropah dipetik sebagai berkata, mereka secara perlahan-lahan mula menyesuaikan diri dengan beberapa versi normal baharu.

Kerajaan Perancis berkata, jumlah kematian harian sebanyak 80 kes pada Sabtu, adalah yang terendah sejak awal April lalu.

Jumlah kematian di pusat jagaan warga emas turut berkurangan secara mendadak ketika Perancis mula bersiap sedia melonggarkan perintah berkurung, sejak dilaksanakan lapan minggu lalu.

Keputusan berkenaan bagaimanapun menerima pelbagai reaksi.

"Saya amat takut dengan pembukaan semula ini. Adalah satu tanggungjawab yang amat besar untuk melindungi dan memastikan keselamatan pekerja serta pelanggan," kata Pengurus kedai buku, Maya Flandin dari Lyon.

Pihak berkuasa kesihatan Perancis memberi amaran, pandemik berkenaan masih aktif dan berubah, memaksa tempoh darurat dilanjutkan sehingga 10 Julai.

Sementara itu di Sepanyol, separuh daripada populasi akan dibenarkan keluar bermula Isnin untuk aktiviti sosial terhad, manakala restoran turut dibenarkan menawarkan perkhidmatan luar.

Bagaimanapun, arahan melonggarkan perintah berkurung itu tidak membabitkan ibu kota Madrid dan Barcelona, yang direkodkan dua kawasan paling terjejas jangkitan COVID-19 di Sepanyol.

"Virus ini masih belum hilang," tegas Perdana Menteri, Pedro Sanchez. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X