Selasa, 28 April 2020 | 8:16pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

COVID-19: Proses sukar mengira orang mati

PARIS: Pengiraan jumlah kematian wabak COVID-19, yang kini mencecah 210,000, adalah satu urusan yang sensitif, dengan data yang tidak lengkap dan kaedah berbeza diguna pakai setiap negara.

Jerman, Luxembourg, Korea Selatan dan Sepanyol mengambil pendekatan untuk mengira semua jumlah kematian mangsa yang positif, tidak kira sama ada mereka meninggal dunia di hospital atau di tempat lain.

Di Belgium, lebih separuh daripada pesakit meninggal dunia di rumah penjagaan, jumlah kematian dikira walaupun pesakit tidak menjalani ujian saringan tetapi disyaki dijangkiti wabak itu.

Perancis juga mengira kematian di rumah jagaan, yang membabitkan lebih daripada satu pertiga keseluruhan kematian di negara itu.

Bagaimanapun, negara lain seperti China, Iran dan Britain, hanya mengira jumlah kematian di hospital setiap hari.

Angka lebih lengkap adalah yang dikeluarkan setiap minggu oleh Pejabat Statistik Nasional, tetapi dengan senggang masa 10 hari, dan angka itu tidak termasuk kematian di Scotland dan Ireland Utara.

Mengikut Perlindungan Sivil, pengiraan jumlah kematian di Itali yang mempunyai jumlah kematian tertinggi di Eropah, hanya dilakukan di rumah penjagaan yang besar.

Di Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai jumlah kematian tertinggi di dunia iaitu lebih daripada 50,000, kaedah pengiraan digunakan berbeza bagi setiap negeri.

Di New York, jumlah kematian dikira di rumah jagaan, tetapi tidak di California.

Beberapa negara, seperti Belgium, Britain, Itali, Luxembourg, Korea Selatan dan Sepanyol mengira memasukkan dalam data semua kematian membabitkan COVID-19 walaupun kematian berpunca daripada komplikasi disebabkan keadaan sebelumnya.

Negara lain bersikap lebih selektif di mana, Iran mengecualikan daripada data kematian yang disahkan positif tetapi disebabkan masalah pernafasan serius yang lain. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X