Ahad, 26 April 2020 | 7:13pm
Kanak-kanak di Sepanyol keluar buat pertama kali diiringi orang dewasa selepas enam minggu terkurung berikutan perintah berkurung bagi mengekang penularan COVID-19. Foto AFP
Kanak-kanak di Sepanyol keluar buat pertama kali diiringi orang dewasa selepas enam minggu terkurung berikutan perintah berkurung bagi mengekang penularan COVID-19. Foto AFP

Beberapa negara bersedia longgarkan perintah kawalan COVID-19

MADRID: Beberapa negara Barat mula membuat persediaan untuk melonggarkan perintah berkurung yang dilaksana bagi mengekang penularan COVID-19.

Antara lain, Sepanyol hari ini membenarkan kanak-kanak di negara itu untuk berada di luar buat pertama kali selepas tempoh enam minggu 'perintah berkurung'.

Ia juga bersedia melonggarkan perintah berkurung di negara itu dan membuka semula sektor ekonomi meskipun kematian akibat COVID-19 seluruh dunia melepasi 200,000 kes.

Menyusuli langkah itu ialah Belgium dan Amerika Syarikat (AS), yang kini merancang untuk melonggarkan sebahagian perintah kawalan berikutan pandemik COVID-19, yang memaksa lebih separuh penduduk dunia berkurung.

Jangkitan wabak itu meningkat kepada 2.86 juta kes dan lebih 200,000 kematian, meningkat dua kali ganda sejak 10 April lalu, dengan lebih separuh daripadanya berlaku di Eropah, menurut data AFP.

Ketika ini, AS kekal negara paling teruk terjejas akibat COVID-19 dengan lebih 53,000 kematian, disusuli Itali dengan sekitar 26,000 kematian, Perancis dan Sepanyol masing-masing dengan 22,000 kematian serta lebih 20,000 kes di United Kingdom.

Sepanyol melaksanakan perintah berkurung paling ketat sejak 14 Mac lalu, dengan hanya orang dewasa dibenarkan keluar membeli barang keperluan dapur, ubat dan membawa anjing berjalan, manakala kanak-kanak dilarang keluar sama sekali.

Bagaimanapun, bermula hari ini, kanak-kanak Sepanyol dibenarkan keluar rumah untuk beriadah tetapi hanya untuk sejam, dengan syarat perlu ditemani sama ada ibu atau bapa, dalam radius tidak melebihi satu kilometer (km) dari rumah mereka.

Tekanan kehidupan di bawah lanjutan perintah berkurung yang turut menjejaskan ekonomi mengundang kekecewaan masyarakat, sekali gus mendorong mereka mendesak arahan itu ditarik balik.

Di Jerman, polis menahan puluhan penunjuk perasaan di Berlin semalam kerana mengkritik perintah berkurung bagi membendung penularan COVID-19.

Perancis pula sedang merangka pelan menyeluruh untuk melonggarkan tempoh berkurung mulai Selasa ini dan bermula minggu depan, penduduk Sepanyol dibenarkan untuk keluar bersenam dan bersiar-siar.

Itali, negara paling lama menguatkuasa perintah berkurung iaitu sejak 9 Mac lalu, penduduknya menunggu keputusan kerajaan pada minggu ini sama ada akan menarik balik larangan itu atau sebaliknya.

Sementara itu, Iran, yang juga antara negara paling teruk terjejas susulan penularan pandemik COVID-19, akan membenarkan sektor perniagaan beroperasi semula secara berperingkat .

Namun, jurucakap jabatan kesihatan negara itu menyuarakan kebimbangan berikutan kemunculan semula 'wabak segar' yang merekodkan 76 lagi kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 5,600 maut akibat wabak itu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula memberi amaran bahawa tindakan melonggarkan langkah kawalan terlalu awal boleh mencetuskan gelombang kedua serangan COVID-19. - AFP

Berita Harian X