Ahad, 26 April 2020 | 8:31am
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez melonggarkan perintah berkurung.
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez melonggarkan perintah berkurung.

COVID-1: Sepanyol benarkan riadah minggu depan

MADRID: Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez semalam, melonggarkan perintah berkurung, akibat COVID-19 dengan langkah terbaharu membenarkan rakyatnya keluar untuk bersenam, mulai minggu depan.

Katanya, kerajaan juga akan mendedahkan butiran penarikan semula perintah larangan keluar rumah pada Selasa ini yang dijangka bermula pertengahan bulan depan.

"Jika wabak itu makin menunjukkan perkembangan positif seperti terjadi sekarang, mulai 2 Mei depan, aktiviti kecergasan fizikal secara individu akan dibenarkan dan boleh keluar berjalan-jalan di taman dengan keluarga," katanya.

Tidak seperti kebanyakan negara lain, Sepanyol sejak memulakan perintah berkurung sejak 14 Mac, langsung tidak membenarkan rakyatnya keluar beriadah, joging atau berbasikal, kecuali untuk tujuan membeli makanan dan ubat-ubatan, membawa anjing keluar serta urusan kecemasan perubatan sahaja.

Kanak-kanak pula langsung tidak dibenarkan keluar rumah dalam apa jua keadaan namun hari ini, Sepanyol membenarkan anak kecil keluar selama satu jam dengan ditemani seorang penjaganya untuk bermain, tidak melebihi daripada satu kilometer dari rumahnya.

Keadaan darurat di Sepanyol memaksa negara itu melanjutkan larangan keluar rumah hingga 9 Mei depan, dengan Sanchez mengatakan peralihan itu akan mengembalikan kebiasaan yang 'berperingkat'.

"Kita tidak akan tergesa-gesa membuka semua perniagaan atau aktiviti sosial serentak, tetapi akan mengembalikannya secara berperingkat," katanya.

Negara ini mencatatkan 367 kematian semalam, iaitu angka terendah dalam tempoh empat minggu ini, menjadikan keseluruhan korban akibat wabak itu seramai 22,902 orang.

Pegawai kesihatan berkata, keadaan paling memuncak kematian dalam tempoh 24 jam, ketika hampir tiga minggu kerajaan menguatkuasakan perintah berkurung di seluruh negara yang mempunyai hampir 47 juta penduduk bagi untuk menghalang penyebaran virus. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X