Selasa, 21 April 2020 | 7:08pm
Petugas kesihatan memakai sut khas ketika merawat pesakit COVID-19 di sebuah hospital di Moscow. - Foto AFP
Petugas kesihatan memakai sut khas ketika merawat pesakit COVID-19 di sebuah hospital di Moscow. - Foto AFP

COVID-19: Jerman, Russia terus catat peningkatan kes

BERLIN: Jerman mencatatkan 143,457 kes jangkitan COVID-19 bertambah sebanyak 1,785 lagi kes, lapor agensi berita Xinhua menurut data Robert Koch Institute hari ini.

Sejumlah 4,598 kematian direkodkan, meningkat 194 dalam tempoh 24 jam lalu. Sementara kira-kira 95,200 pesakit sembuh peningkatan sebanyak 3,700 orang berbanding hari sebelumnya.

Canselor Jerman, Angela Merkel, semalam berkata negara itu ‘masih di awal wabak’, walaupun hakikatnya jangkitan manusia-ke-manusia masih pada kadar yang rendah dan lebih ramai pesakit sembuh berbanding jumlah mereka yang dijangkiti.

"Kita harus tetap berwaspada dan berdisiplin," katanya.

Minggu lalu kerajaan persekutuan dan negeri bersetuju untuk membenarkan peniaga kecil dan beberapa tempat awam dibuka semula bermula Isnin, sambil mengekalkan penjarakan sosial di seluruh negara sehingga sekurang-kurangnya 3 Mei.

Beberapa negeri seperti Bavaria, Saxony dan Mecklenburg-Western Pomerania mengarahkan penggunaan penutup hidung dan mulut ketika menggunakan pengangkutan awam atau berada di kedai.

Sementara itu, Russia merekodkan 5,642 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 52,763, lapor agensi berita Sputnik - memetik pusat tindak balas coronavirus kebangsaan hari ini.

"Dalam tempoh 24 jam lalu, 5,642 kes COVID-19 didaftarkan di 78 wilayah. Daripada jumlah itu 2,567 (atau 45.5 peratus) kes aktif tanpa menunjukkan gejala klinikal," kata pusat itu dalam satu kenyataan.

Russia setakat ini mengesahkan 52,763 kes COVID-19 di 85 wilayah.

Sebanyak 3,083 kes baharu didaftarkan di Moscow, 718 di wilayah Moscow dan 127 di St. Petersburg.

Sementara itu, seramai 51 orang lagi meninggal dunia menjadikan keseluruhan 456.

Pesakit yang pulih pula adalah seramai 3,873 orang pertambahan sebanyak 427 lagi. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X