Selasa, 21 April 2020 | 5:44pm
Orang ramai mengunjungi Pantai Maroubra yang dibuka semula di Sydney. - FOTO AFP
Orang ramai mengunjungi Pantai Maroubra yang dibuka semula di Sydney. - FOTO AFP

COVID-19: Negara Eropah ambil langkah tentatif longgarkan pendekatan perintah berkurung

LEIPZIG (JERMAN): Jerman dan bahagian lain di Eropah mengambil langkah tentatif untuk melonggarkan pendekatan perintah berkurung susulan kian banyak negara terbabit mencatatkan penurunan kadar kematian akibat COVID-19.

Bagaimanapun, pegawai memberi amaran bahawa peperangan terhadap pandemik itu masih belum berakhir.

Sepanyol semalam merekodkan angka kematian terendah dalam tempoh sejak berminggu-minggu, manakala Britain mencatatkan bilangan terendah dalam tempoh dua minggu.

Itali pula melaporkan penurunan jumlah kes untuk kali pertama sejak jangkitan dikesan pada Februari lalu.

Seiring perkembangan menggalakkan itu, sekatan ketat selama berminggu-minggu telah ditarik balik di sebahagian benua ini yang menyaksikan beberapa kedai dibuka semula di Jerman dan Denmark serta ibu bapa di Norway menghantar anak mereka ke taska.

Harapan itu bagaimanapun dibayangi kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya gelombang baharu jangkitan, amaran bahawa kehidupan tidak akan kembali normal untuk tempoh banyak bulan lagi dan kemelut impak virus berkenaan terhadap ekonomi global.

Setakat ini, wabak itu menjangkiti lebih 2.4 juta orang dan meragut lebih 165,000 nyawa di seluruh dunia, dengan hampir dua per tiga daripada bilangan mangsa adalah di Eropah, berdasarkan satu penjumlahan oleh AFP.

Jerman yang dipuji atas kadar kematian yang rendah walaupun mempunyai jumlah kes jangkitan yang signifikan, membenarkan kedai kecil dibuka semula di beberapa rantaunya, mulai semalam.

Kedai lebih besar dan perniagaan di bandar utama Jerman akan dibuka kemudian sebagai langkah berperingkat, manakala pelajar dijadualkan kembali ke sekolah pada 4 Mei depan.

Canselor Jerman, Angela Merkel, bagaimanapun menggesa rakyat negara itu untuk kekal berdisiplin.

Denmark juga akan membuka semula beberapa perniagaan kecil, termasuk salun rambut, rumah urut dan mencacah tatu, klinik gigi serta sekolah memandu, manakala Itali membenarkan kedai buku kembali beroperasi.

Perancis yang merekodkan jumlah kematian terendah di hospital, kelmarin, dalam tempoh sejak 23 Mac lalu, juga mengaku langkah menguatkuasakan perintah berkurung selama sebulan di seluruh negara itu kini mula membuahkan hasil.

“Usaha kita melawan pandemik berkenaan sedang menunjukkan hasil.

“Namun untuk membayangkan bahawa epidemik itu sudah berakhir kerana keadaan mulai pulih, akan menjadi satu kesilapan,” kata Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe.

Di Australia, pihak berkuasa di Sydney membuka semula tiga pantai untuk aktiviti berjalan-jalan, berlari, berenang atau luncur air.

New Zealand pula mengumumkan bakal melonggarkan perintah berkurung di seluruh negara itu pada minggu depan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X