Ahad, 19 April 2020 | 6:59pm
Kakitangan NHS menangis sambil memegang kad menyatakan terima kasih kepada Veteran Perang Dunia Kedua, Kapten Tom Moore, yang berjaya mengumpul dana lebih RM137 juta untuk pekerja barisan hadapan menentang COVID-19 di Britain. - Foto AFP
Kakitangan NHS menangis sambil memegang kad menyatakan terima kasih kepada Veteran Perang Dunia Kedua, Kapten Tom Moore, yang berjaya mengumpul dana lebih RM137 juta untuk pekerja barisan hadapan menentang COVID-19 di Britain. - Foto AFP
Tom menyasarkan untuk membuat pusingan 25 meter di tamannya sebanyak 100 kali sebelum ulang tahun ke-100 pada 30 April ini. - Foto Reuters
Tom menyasarkan untuk membuat pusingan 25 meter di tamannya sebanyak 100 kali sebelum ulang tahun ke-100 pada 30 April ini. - Foto Reuters

COVID-19: 'Kapten Tom' kutip lebih RM137 juta

LONDON: Bekas askar British, Kapten Tom Moore, 99, berjaya mengumpul dana lebih 25 juta pound (RM137 juta) bagi Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dengan berjalan 100 pusingan dalam taman di perkarangan rumahnya.

Veteran Perang Dunia Kedua itu, yang menggunakan alat bantuan beroda untuk berjalan sejak pinggulnya patah, menyasarkan untuk membuat pusingan 25 meter di tamannya sebanyak 100 kali sebelum ulang tahun ke-100 pada 30 April ini.

Beliau berjaya menyelesaikan misi itu Khamis lalu dan Putera Harry, dalam temu bual disiarkan hari ini, berkata baginda berbangga menjadi veteran askar, sebaris dengan insan seperti Moore.

"Tahniah kepada Tom, apa yang dilakukan beliau adalah sangat mengagumkan, bukan saja apa yang dilakukannya tetapi kesan daripada tindakan ini," katanya kepada siaran radio Declassified, khusus bagi bekas perajurit.

Moore hanya menyasarkan untuk mengumpul 1,000 pound (RM5,450) tetapi mendapat sambutan luar dugaan ekoran liputan media seluruh dunia yang tertumpu kepada tamannya di Bedfordshire, England.

Minggu depan, askar berpencen itu akan menjadi tetamu kehormat bagi pada pembukaan hospital 'Nightingale' di Harrogate di utara England, yang dibangunkan bagi membantu membendung penularan COVID-19.

"Saya masih terkesima dengan jumlah sumbangan berterusan daripada orang ramai walaupun menghadapi keadaan tidak menentu," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, kematian akibat COVID-19 di rumah jagaan warga tua di Britain dijangka meningkat hingga 7,500 iaitu lima kali ganda daripada unjuran rasmi susulan peningkatan mendadak daripada 888 kes semalam, kepada 15,464 kes.

Wakil rumah jagaan terbesar di Britain, Care England, berkata anggaran itu berdasarkan angka kematian sejak 1 April lalu, yang mengunjurkan hingga 7,500 orang mungkin terkorban akibat virus itu. - AGENSI

Berita Harian X