Khamis, 16 April 2020 | 7:50am
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus. - Foto AFP

COVID-19: Trump dikecam bekukan dana WHO

GENEVA: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menerima kecaman akibat mengarahkan pembekuan dana untuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO, ketika Kumpulan 20 (G20) mengumumkan moratorium hutang satu tahun untuk negara termiskin di dunia.

Ketika dunia sedang berusaha mencari jalan keluar daripada krisis wabak COVID-19, Trump dikritik hebat kerana membekukan pembayaran kepada WHO.

"Tidak syak lagi, bidang penambahbaikan akan dikenal pasti dan akan ada pelajaran untuk kita semua pelajari," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Ketua Setiausaha Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres mengecam tindakan Trump sementara jutawan Bill Gates, penyumbang utama WHO, menulis tweet bahawa pemotongan dana adalah 'sangat bahaya'.

Begitu juga sekutu Eropah sama sekali tidak bersetuju dan saingan Washington, Rusia mengutuk `pendekatan mementingkan diri sendiri’ AS, manakala China dan Iran mengutuk keputusan berkenaan.

Trump menuduh WHO `salah mengatur dan menutup penyebaran COVID-19’ dan berkata ia mungkin dapat dibendung jika organisasi itu menilai keadaan di China dengan tepat akhir tahun lalu.

Ketika negara Eropah melakukan tentatif untuk membuka semula ekonomi dan masyarakat, kerajaan di negara miskin dan berpenduduk padat, masih berjuang untuk mengenakan sekatan pergerakan yang menyebabkan kesengsaraan kepada golongan yang memerlukan.

Kebimbangan terhadap kelaparan dan kemungkinan pergolakan sosial, semakin ketara di bahagian Afrika dan Amerika Latin.

Di Cape Town, pertempuran meletus pada Selasa lalu, apabila polis melepaskan peluru getah dan gas pemedih mata kepada penduduk yang mengadakan protes terhadap akses kepada bantuan makanan.

Krisis serupa berlaku di Ecuador, di mana kebimbangan terhadap kelaparan bagi penduduk di daerah Guayaquil yang terjejas teruk.

"Polis datang dengan rotan tetapi bagaimana anda menyuruh orang miskin 'tinggal di rumah' jika anda tidak cukup makan?" kata seorang guru, Carlos Valencia.- AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X