Sabtu, 11 April 2020 | 8:00am
Upacara keagamaan disiarkan secara maya dari Cathedral of Our Lady of the Angels di Los Angeles, AS, sekali gus mengelakkan penganut membanjiri gereja. - Foto AFP
Upacara keagamaan disiarkan secara maya dari Cathedral of Our Lady of the Angels di Los Angeles, AS, sekali gus mengelakkan penganut membanjiri gereja. - Foto AFP

COVID-19: Kematian global mencecah 100,661 orang

ROME: Kematian global kini melebihi 100,000 orang ketika seluruh dunia menyambut Hari Easter dengan lebih empat bilion penduduk berkurung di rumah berikutan pandemik COVID-19 yang memuncak hujung bulan lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran keadaan akan lebih parah dan mampu mencetuskan jangkitan berbahaya yang semakin buruk jika perintah berkurung ditarik balik terlalu awal.

Langkah luar biasa diambil di kebanyakan tempat, antaranya New York, Naples dan New Delhi yang menyaksikan banyak perniagaan serta sekolah ditutup.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangkakan dunia kini berdepan kemerosotan terburuk sejak Kemurungan Besar sekitar 1930-an.

Lebih 1.6 juta penduduk dunia dijangkiti dan kira-kira 100,661 kematian dicatatkan setakat semalam, dengan hampir 70 peratus berlaku di Eropah.

Kelmarin, Amerika Syarikat (AS) yang menjadi pusat pandemik mencatatkan 1,700 kematian, berkurangan berbanding Rabu lalu (1,973 terkorban) dengan lebih 500,000 kes jangkitan, menjadikannya negara paling teruk terjejas.

Bagaimanapun, kerajaan AS dan Eropah menzahirkan ada sedikit harapan untuk pulih berikutan graf kematian menyaksikan angkanya semakin mendatar.

Presiden AS, Donald Trump, berkata jangkitan di negaranya ‘semakin ke puncak’ berikutan penjarakan sosial dan hasil keberkesanan itu, beliau mempertimbangkan kemungkinan segera membuka kembali ekonomi terbesar dunia itu.

Susulan perintah berkurung itu, perutusan perayaan Easter akan disiarkan secara langsung sebagai langkah kreatif mengelakkan orang ramai membanjiri gereja.

Ketua gereja Katolik di Jerman, Frank Heidkamp, menggesa penganut di negara itu mematuhi penjarakan sosial ketika perayaan Good Friday yang disertai beratus orang di sebuah tempat letak kereta di Dusseldorf.

“Ia agak menyedihkan pada awalnya, namun sambutan di tempat letak kenderaan ini adalah usaha melindungi masyarakat daripada dijangkiti,” katanya.

Lebih empat bilion penduduk dunia dikenakan perintah berkurung supaya penularan jangkitan dapat dibendung meskipun di Wuhan, kerajaan China mula membuka semula bandar berkenaan untuk tempoh sebulan.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, menyuarakan kebimbangan apabila beberapa negara mula menarik balik perintah berkurung yang dilihat akan meningkatkan semula kadar kematian akibat COVID-19.

Di Asia, banyak negara bimbang wujud gelombang kedua berpunca daripada kes import.

Namun, di sebalik krisis yang memuncak itu, Sepanyol, Perancis dan Itali yakin negara mereka mempunyai harapan untuk pulih apabila angka kematian menunjukkan penurunan positif.

Ketua IMF, Kristalina Georgieva , berkata pihaknya bersedia dengan kapasiti pembiayaan sebanyak AS$1 trilion (RM4.3 trilion) untuk membantu kira-kira 90 negara yang memerlukan dana kecemasan.

Pengeluar minyak dunia pula bersetuju mengurangkan pengeluaran bagi mengimbangi bekalan. -AFP

Berita Harian X