Ahad, 5 April 2020 | 8:58pm
Kesan tembakan lelaki mengamuk membunuh lima orang kerana bercakap kuat pada waktu malam.
Kesan tembakan lelaki mengamuk membunuh lima orang kerana bercakap kuat pada waktu malam.

COVID-19: Lelaki bunuh lima orang kerana 'bercakap kuat'

MOSCOW: Seorang lelaki di bahagian tengah Russia menembak dan membunuh lima orang kerana bercakap kuat pada waktu malam di bawah tingkapnya, kata penyiasat hari ini.

Tembakan itu berlaku di wilayah Ryazan semasa perintah duduk di rumah yang bertujuan memperlahankan penyebaran wabak COVID-19.

Lelaki 32 tahun dari bandar kecil Yelatma itu menembak sekumpulan empat lelaki muda dan seorang wanita yang ‘bercakap kuat di jalan di bawah tingkapnya’ kira-kira jam 10 malam semalam, kata penyiasat.

Yelatma terletak berhampiran bandar Ryazan, kira-kira 200 kilometer di tenggara ibu kota Moscow.

Lelaki itu pergi ke balkoni untuk mengadu kepada kumpulan itu dan pertikaian meletus sebelum dia mencapai senapang memburunya, kata Jawatankuasa Siasatan.

"Mereka semua mati disebabkan kecederaan dialami di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan.

Suspek yang namanya tidak didedahkan telah ditahan.

Pangsapurinya telah digeledah dan senjata itu disita.

Timbalan Gabenor wilayah Ryazan, Igor Grekov, berkunjung ke tempat kejadian hari ini. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X