Ahad, 5 April 2020 | 8:43am

COVID-19: Dunia terus bergelut perangi wabak

PARIS: Lebih 1.169 juta kes jangkitan wabak COVID-19, termasuk 63,437 kematian, dilaporkan di 190 negara dan wilayah seluruh dunia, menurut penjumlahan dikumpul AFP berdasarkan sumber rasmi, setakat jam 7 malam tadi.

Itali mencatatkan angka korban tertinggi dengan 15,362 kematian, diikuti Sepanyol (11,744), Amerika Syarikat (AS) (8,098), Perancis (7,560) dan Britain (4,313).

China bagaimanapun kekal dengan jumlah lebih 3,000 kematian, setakat semalam.

Pada jam 10 pagi semalam, kereta, kereta api dan kapal membunyikan hon, manakala siren ke udara serta bendera dikibarkan separuh tiang selama tiga minit di seluruh China sebagai tanda memperingati dan penghormatan.

Bank Pembangunan Asia pula memberi amaran, pandemik itu menjejaskan ekonomi global sehingga mencecah AS$4.1 trilion, iaitu bersamaan 4.8 peratus pengeluaran dunia.

Di AS, Jabatan Buruh melaporkan sektor pekerjaan merudum sebanyak 701,000 pada bulan lalu, sementara kadar pengangguran melonjak 4.4 peratus.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula memberi amaran bahawa Amerika Latin sedang menuju kemelesetan ekonomi yang teruk, tahun ini.

Menurut Program Makanan Sedunia, pandemik itu mengakibatkan masalah kekurangan makanan bagi ratusan juta penduduk dunia, terutama di Afrika yang bergantung pada bekalan import.

Lebih 3.9 bilion penduduk - separuh daripada populasi dunia - diminta atau diarahkan oleh pihak berkuasa untuk kekal berada di dalam rumah di lebih 90 negara dan wilayah, berdasarkan maklumat pangkalan data AFP.

Dalam pada itu, Sepanyol mengumumkan pelaksanaan perintah berkurung dilanjutkan hingga 25 April ini, manakala Maldives melaporkan dua kes pertama COVID-19 membabitkan pekerja hotel. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X