Jumaat, 3 April 2020 | 9:20am
Petugas kesihatan menolak warga emas di pintu utama Hospital 12 Octubre di ibu kota Madrid. - Foto AFP
Petugas kesihatan menolak warga emas di pintu utama Hospital 12 Octubre di ibu kota Madrid. - Foto AFP

COVID-19: Jumlah jangkitan COVID-19 seluruh dunia cecah sejuta

MADRID: Jumlah kes jangkitan wabak coronavirus (COVID-19) di seluruh dunia, semalam meningkat mencecah angka sejuta, ketika Eropah masih bergelut dengan virus itu, manakala Amerika Syarikat (AS) pula menyaksikan peningkatan kadar pengangguran.

COVID-19 sehingga kini meragut ribuan nyawa di peringkat global, dengan Sepanyol dan Britain merekodkan jumlah kematian harian tertinggi, walaupun melaksanakan perintah berkurung di sebahagian besar kawasan.

Ia turut menjejaskan ekonomi global, dengan AS mencatat rekod 6.65 juta tuntutan faedah pengangguran pekerja minggu lalu, manakala Sepanyol pula melaporkan peningkatan kadar pengangguran bulanan tertinggi pernah direkodkan dalam sejarah.

Menurut sumber rasmi, COVID-19 menjangkiti lebih 989,000 penduduk dunia, termasuk sekurang-kurangnya 540,000 di Eropah dan meragut lebih 51,000 nyawa sejak mula dikesan di China, Disember lalu.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, terdapat peningkatan mendadak yang membimbangkan membabitkan kes baharu dan jumlah itu boleh mencecah jutaan dalam masa beberapa hari.

Krisis kesihatan dunia itu juga memberi tekanan besar terhadap sistem dan petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan bahagian lain.

“Setiap hari sebelum memulakan tugas, saya akan berdoa supaya keadaan menjadi lebih baik.

“Ia bukan untuk saya, saya tidak begitu risau dengan diri sendiri kerana terlindung sepenuhnya. Apa yang menjadi kerisauan adalah pesakit,” kata jururawat berusia 27 tahun, Ester Piccinini, dari hospital Humanitas Gavazzeni di Bergamo, utara Itali.

Eropah kini menjadi pusat krisis wabak berkenaan sejak beberapa minggu lalu, dengan sekurang-kurangnya 37,000 kematian baharu namun masih terdapat tanda bahawa wabak berkenaan menghampiri waktu puncak.

Sepanyol dan Britain masing-masing mencatat 950 dan 569 rekod kematian baharu dalam tempoh 24 jam.

Perancis pula merekodkan 471 kematian di hospital, menurun berbanding hari sebelum, tetapi turut mengumumkan 884 kematian di rumah penjagaan warga emas sejak wabak terbabit mula tersebar.

Itali mencatat 760 kematian baharu, tetapi merekodkan penurunan untuk jumlah jangkitan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X