Selasa, 31 March 2020 | 4:49pm
Pakar kecemasan WHO, Dr Mike Ryan, pada sidang media harian WHO secara maya dari ibu pejabat WHO di Geneva. - Foto AFP
Pakar kecemasan WHO, Dr Mike Ryan, pada sidang media harian WHO secara maya dari ibu pejabat WHO di Geneva. - Foto AFP

COVID-19 boleh stabil di Itali tapi perlu berjaga-jaga - WHO

GENEVA: Perintah berkurung dan langkah penguatkuasaan ketat sepanjang dua minggu lalu di Itali mampu menstabilkan penularan COVID-19 pada masa akan datang, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam.

Bagaimanapun, Pakar kecemasan WHO, Dr Mike Ryan, mengingatkan negara itu harus berwaspada dengan segala kemungkinan yang berpotensi berlaku.

Memberi contoh keadaan di Wuhan, China, beliau berkata meskipun kes dilihat stabil, pihak berkuasa di negara itu masih mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengekalkan penjarakan fizikal dan terus menjejaki kes positif COVID-19.

"Kita lihat, jika anda membayangkan perintah berkurung dan penguatkuasaan ketat di Itali sekarang ini berlangsung dua hingga tiga minggu... kita harus mula melihat kestabilan.

“Ini sebab kes yang kita lihat hari ini sememangnya mencerminkan segala usaha yang kita lakukan dua minggu lalu," katanya.

Itali merekodkan lebih kematian berbanding negara lain, sekali gus menyamai lebih daripada satu pertiga kematian global akibat wabak itu.

Berdasarkan rekod Agensi Perlindungan Awam setakat semalam, angka kematian berpunca daripada COVID-19 di Itali bertambah 812 kepada 11,591 kes.

Bagaimanapun, kes baharu menunjukkan peningkatan sehingga 4,050 kes iaitu jumlah terendah sejak 17 Mac lalu, sekali gus menjadikan keseluruhan 101,739 kes.

Semalam, angka kes positif COVID-19 di Sepanyol memintas China sehingga kerajaan negara itu terpaksa mengetatkan lagi larangan pada minggu ketiga perintah berkurung paling ketat di Eropah.

Bagaimanapun, kata Dr Ryan, peningkatan harian jangkitan COVID-19 di negara itu mula perlahan.

"Kita berharap Itali dan Sepanyol hampir ke arah itu dan menurun (kes), bukan hanya berkurung dan membiarkannya," kata Ryan.

Mengulas mengenai penggunaan topeng muka oleh orang awam tatkala seluruh dunia berdepan kekangan bekalan untuk petugas kesihatan, Dr Ryan berkata WHO mengesyorkan pemakaian topeng muka untuk menghalang penyebaran penyakit.

"Secara umumnya, WHO mengesyorkan pemakaian topeng muka oleh orang awam untuk menghalang seseorang individu itu menyebarkan penyakit kepada orang lain.

"Kita tidak secara umum syorkan pemakaian topeng muka di khalayak ramai kerana sampai sekarang, ia belum dikaitkan dengan apa-apa faedah tertentu," katanya. - REUTERS

Berita Harian X