Selasa, 31 March 2020 | 7:55am
Seorang lelaki memegang bakul makanan yang diberi percuma di Naples, Itali ketika negara itu masih di bawah perintah berkurung. REUTERS
Seorang lelaki memegang bakul makanan yang diberi percuma di Naples, Itali ketika negara itu masih di bawah perintah berkurung. REUTERS

COVID-19: New Zealand, Itali lanjutkan tempoh berkurung

WELLINGTON: Menteri Pertahanan Awam New Zealand, Peeni Henare memaklumkan tempoh berkurung di negara itu akan dilanjutkan tujuh hari lagi, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Pengisytiharan perintah itu dibuat pada 25 Mac lalu dan boleh dilanjutkan kepada satu jangka masa tertentu, sekiranya terdapat keperluan mendesak.

“Pelanjutan tempoh darurat ini antaranya bagi memastikan kita mempunyai semua sumber, sokongan dan kuasa yang diperlukan bagi membasmi penularan wabak COVID-19 ini, dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Perintah ‘lockdown’ dikuatkuasakan selama sebulan di New Zealand bermula 26 Mac lalu.

Sementara itu di Rom, kerajaan Itali akan melanjutkan tempoh perintah berkurung di seluruh negara yang sepatutnya berakhir Jumaat ini, sekurang-kurangnya sehingga sambutan Easter pada 12 April, walaupun ada penurunan kes jangkitan baharu wabak COVID-19.

“Penilaian ini bertujuan melanjutkan semua langkah pengawalan wabak sekurang-kurangnya sehingga sambutan Easter,” kata Menteri Kesihatannya, Roberto Speranza dalam satu kenyataan selepas menghadiri satu mesyuarat jawatankuasa saintifik.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan tidak memberikan tarikh muktamad bagi pengakhiran tempoh perintah berkurung, namun memberitahu ia akan dicadangkan oleh kerajaan mengikut peruntukan undang-undang.

Warga Itali sudah menjalani perintah berkurung selama tiga minggu dengan hampir semua kedai, bar, restoran ditutup dengan penduduk tidak dibenarkan meninggalkan kediaman masing-masing, melainkan bagi urusan penting.

Itali juga di antara negara yang paling teruk terjejas akibat COVID-19 apabila menyumbang kepada lebih daripada satu pertiga daripada jumlah kematian peringkat global.

Angka kematiannya terus meningkat kepada 11,591 orang sejak wabak itu menular di negara itu pada 21 Februari lalu.

Sementara itu, Sabtu lalu, Gabenor wilayah selatan Publia, berkata perintah berkurung itu perlu diteruskan sehingga Mei nanti.

Bahkan, persatuan doktor peringkat kebangsaan Itali turut memberitahu angka korban COVID-19 semakin membimbangkan dengan 11 kes baharu kematian doktor, menjadikan angka keseluruhan petugas kesihatan yang terkorban kepada 61 orang. –REUTERS

Berita Harian X