Sabtu, 28 March 2020 | 9:04pm
Pegawai polis India, Inspektor Rajesh Babu, memakai ‘topi keledar coronavirus’ ketika berkawal di Chennai, India berikutan arahan perintah berkurung di negara itu. - Foto AFP
Pegawai polis India, Inspektor Rajesh Babu, memakai ‘topi keledar coronavirus’ ketika berkawal di Chennai, India berikutan arahan perintah berkurung di negara itu. - Foto AFP

COVID-19: Statistik global menunjukkan peningkatan

MADRID: Statistik jangkitan COVID-19 global merekodkan 598,404 kes dan 27,863 kematian setakat jam 5 petang tadi dengan Amerika Syarikat (AS) mencatatkan jangkitan tertinggi iaitu 104,837 kes.

Sepanyol merekodkan 832 kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan yang terkorban meningkat kepada 5,690 orang.

Menurut kenyataan rasmi kerajaan, mangsa yang dijangkiti coronavirus itu pula meningkat melebihi 72,000 orang.

Sepanyol mencatatkan jumlah kematian kedua tertinggi di dunia akibat COVID-19 selepas Itali yang merekodkan 5,690 kematian.

Jumlah kes terus meningkat berikutan kepada 72,248 berikutan lebih banyak ujian dibuat bagi mengesan coronavirus itu.

Sementara itu, Iran hari ini mengumumkan 139 lagi mangsa maut akibat COVID-19, meningkatkan angka kematian rasmi kepada 2,517 orang setakat ini.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Kianoush Jahanpour, berkata 3,076 lagi kes jangkitan disahkan dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan jumlah keseluruhan 35,408 kes.

Indonesia pula melaporkan 109 kes baru coronavirus, menjadikan jumlah keseluruhan 1,155 kes

Pegawai Kementerian Kesihatan, Achmad Yurianto, berkata pihaknya mengesahkan 15 lagi kematian, menjadikan jumlah keseluruhan 102, manakala 59 mangsa sudah sembuh sejak wabak itu mula dikesan beberapa minggu lalu.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Filipina melaporkan 14 lagi kematian akibat COVID-19 selain pertambahan 272 kes jangkitan, menandakan peningkatan tertinggi harian setakat ini.

Angka terkini itu menjadikan jumlah keseluruhan kes mencecah 1,075 jangkitan dan 68 kematian selain empat lagi pesakit disahkan sembuh, menjadikan jumlah keseluruhan 35 mangsa yang sembuh. - AGENSI

Berita Harian X