Selasa, 24 March 2020 | 9:16pm
Ketua Pengarah Kesihatan Sweden, Johan Carlson (kiri) bersama Menteri Kesihatan dan Hal Ehwal Sosial, Lena Hallengren menyampaikan sidang media harian berkenaan COVID-19 di Stockholm. - Foto AFP
Ketua Pengarah Kesihatan Sweden, Johan Carlson (kiri) bersama Menteri Kesihatan dan Hal Ehwal Sosial, Lena Hallengren menyampaikan sidang media harian berkenaan COVID-19 di Stockholm. - Foto AFP

Sweden tidak laksana perintah berkurung

STOCKHOLM: Ketika kebanyakan negara Eropah melaksanakan perintah berkurung bagi mengekang penyebaran wabak COVID-19, Sweden mengambil pendekatan berbeza dengan menggalakkan orang ramai untuk berada di luar dan menghirup udara segar.

Pendekatan yang diambil Sweden itu menimbulkan perdebatan, sama ada ia adalah tindakan yang wajar diambil ketika dunia berdepan serangan COVID-19.

Ketua Pengarang Dagens, Nyheter yang menjadi surat khabar terbesar di negara itu, menggesa kerajaannya untuk mengambil langkah tegas selain melakukan lebih banyak ujian saringan COVID-19.

“Kita tidak boleh membiarkan kejadian yang berlaku di Wuhan dan Bergamo berulang di Sweden.

“Itu adalah langkah yang memperjudikan nasib dan melanggar prinsip asas kemanusian,” katanya.

Bagaimanapun, Perdana Menterinya, Stefan Lofven, ketika perutusan khas Ahad lalu, meminta rakyatnya supaya bertanggungjawab dan mengikuti saranan kerajaan.

Rakyat negara itu dibenarkan bekerja dari rumah dan mengamalkan jarak selamat, selain melarang perhimpunan melebihi 500 orang serta menasihatkan sekolah menengah dan universiti melakukan pembelajaran dalam talian.

Bagaimanapun, kebanyakan bar dan restoran masih beroperasi secara biasa pada hujung minggu dan bas antara bandar dipenuhi orang ramai ketika waktu puncak.

Setakat ini, parlimen negara itu hanya membenarkan sekolah rendah dan tadika ditutup, sekiranya perlu.

Sehingga semalam, Sweden melaporkan 2,016 kes baharu akibat jangkitan COVID-19, manakala Norway dan Denmark yang mempunyai lebih separuh populasi Sweden, masing-masing merekodkan sebanyak 2,371 dan 1,450 kes.

Bagaimanapun, kesemua negara Scandinavia dipercayai mempunyai jumlah kes jangkitan yang tidak diketahui memandangkan ujian saringan hanya dilakukan ke atas pesakit yang mengalami simptom teruk. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X