Isnin, 23 March 2020 | 1:58pm
Orang ramai yang masih berkumpul di Richmond Park berhampiran London meskipun ancaman COVID-19 semakin serius mengecewakan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - Foto REUTERS
Orang ramai yang masih berkumpul di Richmond Park berhampiran London meskipun ancaman COVID-19 semakin serius mengecewakan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - Foto REUTERS

COVID-19: 50 kematian dalam 24 jam di UK

LONDON: Perdana Menteri, Boris Johnson, semalam mengeluarkan amaran akan memperketatkan undang-undang terhadap rakyat negara itu sekiranya terus ingkar arahan berkaitan kawalan COVID-19.

Katanya, masih ramai yang bersesak-sesak di taman, pasar raya dan kafe pada hujung minggu lalu, sekali gus mengabaikan perintah kerajaan bagi melakukan penjarakan sosial.

Johnson berkata, mengikut data jabatan kesihatan negara itu, 281 kematian dicatatkan dengan peningkatan hampir 50 kematian dalam tempoh 24 jam lalu daripada keseluruhan 5,683 kes COVID-19.

“Tolong patuhi nasihat kerajaan dan jangan fikir udara segar di luar mampu menyumbang kepada imuniti anda.

“Setiap individu perlu menjarakkan diri sekurang-kurangnya dua meter daripada individu lain,” katanya dalam satu taklimat media.

Beliau turut berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan tambahan sekiranya rakyat di negara itu masih gagal untuk mematuhi larangan dikeluarkan.

Pada masa sama, kementerian akan terus meneliti langkah seterusnya bagi membendung penularan pandemik itu.

“Jika masyarakat enggan ikut arahan, kami akan melaksanakan undang-undang lebih ketat,” katanya.

Terdahulu, Johnson mengingatkan rakyat Britain kemungkinan berlaku peningkatan jangkitan wabak sebagaimana keadaan mutakhir yang semakin meruncing di negara itu.

“Penularan COVID-19 di Britain cuma ketinggalan dua atau tiga minggu daripada Itali.

“Itali mempunyai sistem penyediaan kesihatan yang hebat, bagaimanapun anggota kesihatan mereka termasuk doktor dan jururawat berdepan kesukaran yang kritikal berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19,” katanya.

Jumlah kematian yang dicatatkan di Britain menyamai angka diumumkan Itali kira-kira dua minggu lalu (7 Mac) sebelum negara itu diumumkan negara paling teruk terjejas berikutan COVID-19.

Jumaat lalu, Johnson mengumumkan pelaksanaan yang digelarnya ‘drakonian’ bagi menyekat penularan wabak COVID-19, termasuk mengarahkan semua bar, pub dan restoran ditutup.

Malah, Isnin lalu Johnson turut mengarahkan kebanyakan sekolah ditutup serta merta.

Kementerian turut menggariskan undang-undang darurat yang memberikan tambahan kuasa termasuk kepada polis, pegawai kesihatan dan pegawai imigresen bagi dilaksanakan mulai minggu ini.

Menyedari penularan virus berkenaan dan kesannya kepada orang awam, penyedia penjagaan kesihatan awam di United Kingdom (UK), Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) memberitahu sekurang-kurangnya 1.5 juta penduduk berisiko dan perlu duduk di rumah bagi tempoh 12 minggu.

Pada masa sama, kerajaan menasihatkan mereka yang mempunyai antibodi lemah, termasuk penghidap kanser, supaya mengikut arahan kuarantin di rumah. - AGENSI

Berita Harian X