Isnin, 23 March 2020 | 12:17pm
Pekerja kesihatan berpakaian keselamatan berselisih dengan anggota polis meronda pusat bandar yang lengang di Madrid selepas Sepanyol mengisytiharkan perintah berkurung. - Foto REUTERS
Pekerja kesihatan berpakaian keselamatan berselisih dengan anggota polis meronda pusat bandar yang lengang di Madrid selepas Sepanyol mengisytiharkan perintah berkurung. - Foto REUTERS

Sepanyol lanjutkan perintah berkurung perangi COVID-19

MADRID: Kerajaan Sepanyol dijangka melanjutkan perintah berkurung sehingga 11 April depan bagi mengawal penularan wabak COVID-19 berikutan negara Eropah itu mencatatkan kes tertinggi pandemik terbabit selepas Itali.

Perkara itu turut menjadi isu utama dibincangkan di beberapa wilayahnya yang menggesa tempoh perintah had pergerakan dipanjangkan segera sebagai langkah terbaik mengatasi keadaan yang semakin meruncing.

Krisis COVID-19 di negara itu terus genting dengan jumlah kematian melebihi 17,000 orang dan 28,000 kes positif wabak itu.

Sepanyol mengumumkan perintah berkurung pada 14 Mac lalu selama 15 hari dengan rakyat diarahkan berada di rumah tidak dibenarkan keluar rumah melainkan bagi perkara mustahak.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, dalam satu taklimat media, berkata Eropah perlu melaksanakan program pemulihan awam sebagaimana dilakukan melalui Rancangan Marshall yang dibuat selepas Perang Dunia Kedua.

Sanchez turut berpandangan keperluan untuk melanjutkan tempoh perintah berkurung, cuma ia memerlukan kelulusan Parlimen, yang mana sesi plenari dijadualkan berlangsung Rabu ini.

Ia hanya dapat dilaksanakan sekiranya parti pembangkang utama iaitu Parti Popular (PP) yang konservatif memberikan sokongan dengan mengundi parti sosialis pimpinan Sanchez dan parti sekutunya, Unidas Pademos.

Beliau berharap kesemua parti politik di negara itu menyokong penuh cadangan melanjutkan perintah berkurung supaya ia dapat dilaksanakan dalam kadar segera.

Ini adalah kali pertama kerajaan Sepanyol melaksanakan darurat dalam tempoh empat dekad pemerintahan demokrasi di negara itu.

Dalam perkembangan lain, Sanchez memuji rakyat Sepanyol yang komited dengan arahan duduk di rumah dan pada masa sama, mempertahankan pendiriannya bagi melanjutkan tempoh berkurung di negara itu.

“Kami berharap dengan keputusan yang amat drastik, dramatik dan pendekatan sukar...kita mampu menurunkan kes COVID-19." katanya.

Mengikut data Kementerian Kesihatan Sepanyol, angka kematian di negara itu semalam terus meningkat kepada 1,750 berbanding 1,326 kes dicatatkan kelmarin. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X