Ahad, 22 March 2020 | 8:25pm

COVID-19: Sepanyol lapor peningkatan 30 peratus kematian dalam sehari

MADRID: Sepanyol hari ini mengumumkan 394 kematian baharu akibat COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan 1,720 kematian di negara paling teruk dilanda pandemik itu di Eropah selepas Itali, meningkat 30 peratus berbanding hari sebelumnya.

Jumlah kes penyakit yang disahkan meningkat sebanyak 3,646 orang, atau 14.6 peratus kepada 28,572, menurut angka kementerian kesihatan, dengan pegawai memberi amaran jangkitan akan meningkat lagi dalam beberapa hari mendatang.

Dengan 1,785 dirawat dalam unit rawatan rapi untuk virus itu, terdapat kebimbangan mengenai kesesakan di hospital.

Perdana Menteri, Pedro Sanchez, memberi amaran semalam bahawa Sepanyol sudah termasuk di antara yang paling teruk dilanda pandemik itu di dunia, dan akan terus meningkat teruk.

"Kita mesti mempersiapkan diri secara emosi dan psikologi untuk hari-hari yang sangat sukar," katanya kepada negara itu dalam ucapannya di televisyen lewat semalam.

"Kita masih belum menerima impak gelombang yang paling kuat dan paling merosakkan, yang akan menguji kapasiti material dan moral kita ke tahap maksimum, serta semangat kita sebagai masyarakat," katanya.

Sepanyol telah mengeluarkan arahan sekatan pergerakan terhadap kira-kira 46 juta penduduknya yang hanya dibenarkan meninggalkan rumah mereka untuk kerja penting, membeli-belah makanan, sebab-sebab perubatan atau bawa anjing berjalan-jalan. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X