Jumaat, 20 March 2020 | 5:32pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

COVID-19: Russia uji prototaip vaksin atas haiwan

MOSCOW: Saintis Russia kini memulakan ujian prototaip vaksin yang berpotensi menyembuhkan COVID-19 ke atas haiwan di makmal sains di Siberia.

Pegawai Selia Bahagian Kesihatan Pengguna Russia, hari ini berkata kumpulan saintis di Pusat Virologi dan Bioteknologi Vektor negeri di bandar Novosibirsk sudah membangunkan prototaip vaksin.

“Ia dibangunkan daripada enam pentas teknologi yang berbeza dan kita memulakan ujian berkaitan Isnin lalu.

"Ujian itu bagi memastikan keberkesanan prototaip supaya kandungan dalamannya dapat ditambah baik lagi," katanya.

Russia merekodkan 199 kes jangkitan dan satu kematian akibat COVID-19 setakat ini, jumlah yang agak kecil berbanding negara Eropah lain yang mengalami peningkatan mendadak, baik bagi kes disahkan positif atau kadar kematian.

Sebelum ini, saintis di seluruh dunia memberi amarah bahawa proses pembangunan vaksin mengambil masa yang panjang lagi rumit dan hanya boleh dihasilkan untuk ujian klinikal dalam tempoh 12 atau 18 bulan akan datang.

Pihak berkuasa kawal selia Russia, Rospotrebnadzor, melaporkan bahawa pada kebiasaannya tikus makmal dan tikus digunakan dalam penyelidikan terbabit.

“Selain itu, kita juga gunakan cerpelai dan beberapa spesies monyet selain beberapa jenis haiwan yang lazimnya digunakan bagi ujian perubatan,” katanya.

Tambah beliau, kumpulan saintis terbabit hanya dijangka berjaya menghasil dan melancarkan vaksin dalam tempoh tiga bulan terakhir hujung tahun ini. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X