Khamis, 19 March 2020 | 9:08pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

COVID-19: Kematian 9,000 orang, Eropah paling tinggi

PARIS: Lebih 9,000 kematian direkodkan di seluruh dunia akibat pandemik COVID-19 sehingga hari ini, berdasarkan angka rasmi AFP.

Sehingga 11 pagi tadi, 9,020 kematian direkodkan dengan 4,134 daripadanya di Eropah dan 3,416 lagi di Asia, sejak kemunculan virus yang mula dikesan di China pada penghujung Disember lalu.

China, tidak termasuk Hong Kong dan Macau, mengumumkan 80,928 kes termasuk 3,245 kematian dan 69,601 mangsa yang pulih. Republik itu mengumumkan 34 kes baharu dan lapan kematian, sejak semalam.

Di luar China, terdapat 5,775 kematian sejak jam 10 pagi tadi, iaitu 228 kematian baharu daripada 136,590 kes yang mana 7,981 adalah baharu.

Negara paling buruk terkesan selepas China ialah Itali yang mencatatkan 2,978 kematian (36,713 kes), Iran pula 1,284 kematian (17,361 kes), Sepanyol 598 maut (13,716 kes) dan Perancis 264 kematian (9,134 kes).

Setakat jam 5 petang semalam, Pakistan, Russia, Costa Rica dan Mexico sahkan kematian pertama manakala Mauritius, Barbados, Zambia, Fiji, Bahamas, El Salvador dan Nicaragua masing-masing melaporkan kes jangkitan pertama.

Dengan kira-kira 712 kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam, Eropah menjadi benua yang mencatatkan penularan tertinggi wabak berkenaan.

Sementara itu, di Iran, negara Asia Barat paling terkesan akibat COVID-19, purata satu kematian direkodkan dalam setiap 10 minit.

Menurut Jurucakap Kementerian Kesihatan Dubai, Kianush Jahanpur, dalam ciapan twitter, kematian akibat coronavirus kini mencecah 1,284 orang.

"Berdasarkan maklumat diterima, satu kematian dilaporkan dalam setiap 10 minit dan 50 jangkitan baru dicatatkan dalam tempoh satu jam di negara itu," katanya.

Di Sepanyol, kematian terkininya adalah seramai 767 orang iaitu peningkatan 30 peratus dalam tempoh 24 jam.

Jumlah keseluruhan 17,147 orang dijangkiti di negara itu menunjukkan peningkatan 25 peratus berbanding hari sebelumnya.

Kementerian Kesihatan Sepanyol berkata angka itu dijangka terus meningkat dalam beberapa hari lagi sejajar keputusan ujian yang sudah dijalankan dan diperoleh.

Di Belgium, sehingga semalam negara itu mencatatkan 309 kes baharu COVID-19, menjadikan keseluruhan 1,795 kes.

Jurucakap Kementerian Kesihatan Belgium berkata daripada angka itu, tujuh kematian direkodkan semalam akibat pandemik COVID-19, menjadikan jumlah kematian terkini menjadi 21 orang. - AGENSI

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X