Isnin, 16 March 2020 | 8:10am
Itali semalam merekodkan 368 kematian yang juga angka korban tertinggi dalam sehari, akibat COVID-19 yang sudah meragut lebih 6,000 nyawa di seluruh dunia. - Foto AFP
Itali semalam merekodkan 368 kematian yang juga angka korban tertinggi dalam sehari, akibat COVID-19 yang sudah meragut lebih 6,000 nyawa di seluruh dunia. - Foto AFP

Itali rekod kematian tertinggi 368 sehari

PARIS: Itali merekodkan 368 kematian, angka korban tertinggi dalam sehari akibat COVID-19 yang kini sudah meragut lebih 6,000 nyawa di seluruh dunia.

Bilangan itu menjadikan jumlah kematian di Itali kini mencecah 1,809 orang, iaitu lebih separuh daripada keseluruhan kes pesakit meninggal dunia akibat virus berkenaan di luar China.

Perkembangan itu sekali gus menyaksikan kerajaan negara Eropah terus bergelut memerangi COVID-19 dengan meningkatkan langkah menyekat penularannya yang pantas.

Malah, Vatican mengambil keputusan drastik membatalkan sambutan minggu Easter, ketika pemimpin di utara Itali memberi amaran berhubung masalah kekurangan alat bantuan pernafasan dan katil bagi menampung pertambahan ramai pesakit virus itu.

Kafe, kedai serta restoran di seluruh Perancis dan Sepanyol, iaitu antara negara paling terkesan dengan COVID-19 di Eropah, ditutup bagi membanteras pandemik berkenaan.

Perancis mengarahkan penutupan semua perniagaan tidak penting, manakala Sepanyol memutuskan tindakan lebih ketat dengan turut melarang orang ramai keluar rumah kecuali untuk bekerja, mendapatkan penjagaan perubatan atau membeli makanan.

Kes juga meningkat di Jerman yang melaksanakan kawalan sempadan dengan Perancis, Austria, Switzerland, Luxemburg and Denmark mulai hari ini.

Hingga semalam, jumlah kes COVID-19 disahkan di seluruh dunia telah menjangkau 163,930 dengan 6,420 kematian membabitkan 141 negara dan wilayah, menurut angka yang dikumpulkan AFP daripada sumber rasmi. - AFP

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X