Ahad, 15 March 2020 | 9:09am
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez. - Foto AFP
Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez. - Foto AFP

Perintah berkurung di hampir seluruh Sepanyol

MADRID: Sepanyol semalam melaksanakan perintah berkurung di hampir seluruh negara bagi memerangi penularan COVID-19, dengan melarang penduduk keluar rumah kecuali untuk bekerja, mendapatkan penjagaan perubatan atau membeli makanan.

Perdana Menteri, Pedro Sanchez, mengumumkan sekatan pergerakan itu susulan peningkatan mendadak angka jangkitan di negara ini yang mempunyai kira-kira 46 juta penduduk.

Keputusan itu ialah antara langkah darurat selama 15 hari yang diisytiharkan kerajaan, semalam.

Sepanyol melaporkan lebih 1,500 jangkitan baharu COVID-19 sejak petang kelmarin, menyaksikan jumlah meningkat kepada 5,753 kes yang merupakan kedua tertinggi di Eropah selepas Itali. Setakat ini, virus itu sudah meragut 183 nyawa di Sepanyol.

“Larangan itu mesti dipatuhi mulai hari ini (semalam),” katanya dalam ucapan disiarkan melalui televisyen selepas mengadakan mesyuarat Kabinet yang berlangsung lebih tujuh jam.

Beliau berkata, penduduk boleh keluar bekerja, ‘membeli roti’, pergi ke farmasi dan mendapatkan penjagaan perubatan, namun ‘tidak dibenarkan keluar makan malam di rumah kawan’.

Sanchez menegaskan, polis akan memastikan orang ramai mematuhi sekatan pergerakan itu.

“Langkah yang diambil adalah drastik dan malangnya akan mempunyai akibat... tetapi kita tidak akan goyah memerangi virus itu.

“Kita akan memenangi perjuangan ini... namun, penting bagi memastikan ‘harga’ terpaksa dibayar untuk mencapai kemenangan ini adalah serendah yang mungkin,” katanya.

Beliau menjelaskan, semua kedai di seluruh negara akan ditutup, kecuali farmasi dan pasar raya.

Bar, restoran dan semua kedai, kecuali pasar raya, sudah ditutup untuk tempoh dua minggu bermula semalam di rantau Madrid yang merekodkan lebih separuh daripada keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di negara ini.

Kebanyakan kerajaan serantau di Sepanyol telah mencontohi Madrid dan menutup sekolah di kawasan masing-masing. - AFP

Berita Harian X