Khamis, 12 March 2020 | 8:57am

COVID-19: Sweden lapor kematian pertama

STOCKHOLM: Sweden melaporkan kematian pertama akibat COVID-19, semalam, sekali gus melarang perhimpunan awam membabitkan lebih 500 orang dalam usaha mengekang penularan virus itu.

Setakat ini, Sweden mencatatkan kira-kira 460 kes positif dengan yang pertama dikesan pada akhir Januari lalu.

Menurut pihak berkuasa kesihatan serantau dalam satu kenyataan, individu yang meninggal dunia itu menghidap COVID-19 dan penyakit lain.

Pesakit warga emas itu menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital di Stockholm.

Pihak berkuasa berkata, seorang pesakit lain turut dirawat di ICU dalam kawasan sama.

Berikutan peningkatan kes dengan cepat, kebelakangan ini, kerajaan memutuskan untuk akur dengan saranan Agensi Kesihatan Awam, semalam, supaya melarang perhimpunan awam membabitkan lebih 500 orang bagi menghalang COVID-19 daripada terus merebak.

“Kerajaan juga bersedia untuk mengambil langkah yang perlu bagi menghentikan penularan penyakit itu,” kata Perdana Menteri, Stefan Lofven, pada sidang media.

Kelmarin, Agensi Kesihatan Awam menaikkan tahap risiko jangkitan tempatan daripada sederhana kepada tinggi, dan memaklumkan bahawa terdapat tanda penularan wabak COVID-19 dalam komuniti di negara ini. - REUTERS

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X