Sabtu, 22 Februari 2020 | 10:22am
Kerajaan British membawa pulang rakyatnya yang dikuarantin dalam kapal persiaran Diamond Princess di Pelabuhan Yokohama, Jepun akibat wabak COVID-19. - Foto REUTERS
Kerajaan British membawa pulang rakyatnya yang dikuarantin dalam kapal persiaran Diamond Princess di Pelabuhan Yokohama, Jepun akibat wabak COVID-19. - Foto REUTERS

UK bawa pulang warganya dari Diamond Princess

LONDON: Kerajaan British membawa pulang rakyatnya yang dikuarantin dalam kapal persiaran Diamond Princess di Pelabuhan Yokohama, Jepun akibat wabak COVID-19.

Perkara itu disahkan pejabat Kementerian Luar dalam satu kenyataan yang memaklumkan pesawat membawa semua rakyat British dan beberapa negara Eropah lain itu akan mendarat di pangkalan tentera Boscombe Down di selatan England.

“Kami mengesahkan pesawat membawa pulang semua 32 rakyat British dan Eropah sudah berlepas dari Jepun bersama kakitangan kerajaan dan pegawai perubatan. Mereka dijangka tiba hari ini,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, semua penumpang pesawat terbabit akan dikuarantin selama 14 hari sebaik mendarat.

Kapal persiaran itu tiba di perairan Jepun pada 3 Februari lalu membawa lebih 3,700 penumpang yang separuh daripadanya adalah warga Jepun dan anak kapal dari lebih 50 negara.

Ia dikuarantin selepas pihak berkuasa menemui penumpang yang turun dari bot di Hong Kong ketika pelayaran kapal itu, didapati positif virus berkenaan.

Lebih 540 penumpang kapal persiaran itu dilaporkan dijangkiti COVID-19 dan kebanyakannya dihantar ke hospital untuk dirawat. - AFP

Berita Harian X