Sabtu, 22 Februari 2020 | 7:41am
Putera Harry dan isterinya Meghan.
Putera Harry dan isterinya Meghan.

Putera Harry, Meghan henti guna gelaran diraja mulai 31 Mac

LONDON: Putera Harry dan isterinya, Meghan tidak lagi akan menggunakan gelaran ‘Sussex Royal’ selepas pasangan itu berundur daripada tugas rasmi diraja secara rasmi 31 Mac ini.

Menurut jurucakap pasangan itu, Putera Harry dan isterinya tidak akan lagi menjalankan tugas mewakili Ratu Elizabeth II selepas tarikh berkenaan.

“Duke dan Duchess of Sussex tidak mahu menggunakan lagi gelaran ‘Sussex Royal’ selepas musim bunga ini.

“Pasangan itu juga tidak akan menggunakan nama baharu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka, sebelum pengumuman rasmi dibuat berhubung perkara itu,” katanya.

Putera Harry, 35, anak kedua kepada pewaris takhta, Putera Charles, bagaimanapun akan kekal kepada sebagai pewaris keenam.

Beliau yang juga bekas pegawai tentera turut mengekalkan pangkatnya sebagai Leftenan Komander dan ketua skuad dalam tentera darat, laut dan udara.

Buat masa ini, pasangan terbabit hanya menggunakan nama popular seperti terpapar di media sosial, Instagram serta melancarkan laman web sejurus pengumuman yang mengejutkan itu. - AFP

Berita Harian X