Khamis, 23 Januari 2020 | 12:21pm
Gambar fail, pelarian Rohingya berjalan di kem Balukhali di Cox's Bazar, Bangladesh. - Foto REUTERS
Gambar fail, pelarian Rohingya berjalan di kem Balukhali di Cox's Bazar, Bangladesh. - Foto REUTERS

ICJ arah Myanmar ambil langkah awal lindungi etnik Rohingya

THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengarahkan Myanmar mengambil langkah segera bagi melindungi etnik Islam Rohingya daripada dianiaya dan didakwa selain menyimpan bukti jenayah yang dilakukan terhadap mereka.

Selain itu, Myanmar diarah mengambil ‘semua langkah dalam keupayaannya’ untuk mencegah sebarang tindakan yang dilarang di bawah Konvensyen Genosid 1948, dan melaporkan kembali kepada ICJ dalam tempoh empat bulan.

Kes terbabit belum didengar sepenuhnya dan keputusan itu hanya berhubung permohonan Gambia, sebuah negara majoriti Islam di Afrika Barat, supaya ICJ mengarahkan kerajaan Myanmar melindungi etnik Rohingya.

Walaupun keputusan muktamad ICJ mungkin mengambil masa bertahun lamanya, panel 17 hakim secara sebulat suara membuat keputusan jelas bahawa etnik Rohingya kini dalam bahaya dan perlu ada langkah bagi melindungi mereka.

Gambia memulakan prosiding di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu pada November tahun lalu, dengan menuduh Myanmar melanggar Konvensyen 1948 kerana melakukan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingya.

Hakim Abdulqawi Yusuf, yang membacakan penghakiman awal, berkata etnik Rohingya kekal menghadapi ‘risiko serius pembunuhan beramai-ramai’.

“Mahkamah berpendapat etnik Rohingya di Myanmar kekal dalam keadaan ‘amat terancam’ dan berpendapat langkah yang diambil bagi melindungi hak mereka masih tidak memadai.

“Ini termasuk memudahkan kepulangan mereka dari Bangladesh serta memupuk persefahaman etnik, keamanan dan kestabilan di Rakhine selain memastikan pihak tentera bertanggungjawab terhadap pencabulan hak asasi manusia,” katanya.

ICJ juga mengarahkan kerajaan Myanmar memastikan tenteranya dan kumpulan bersenjata lain tidak membunuh etnik Rohingya, mencederakan, memberi tekanan mental atau sengaja mengenakan syarat yang membawa kemudaratan kepada fizikal mereka.

Lebih 730,000 etnik Rohingya meninggalkan Myanmar selepas operasi ketenteraan pada 2017 dan terpaksa menduduki kem pelarian di Bangladesh, yang disifatkan penyiasat PBB sebagai kempen ketenteraan berniat melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Di Cox’s Bazar, kem pelarian terbesar dunia dengan lebih sejuta pelarian Rohingya, harapan semakin menggunung agar keputusan memihak kepada mereka selepas melalui penganiayaan selama bertahun-tahun.

“Seluruh komuniti Rohingya sedang berdoa untuk keadilan. Kita mengharapkan satu penghakiman yang adil,” kata ketua masyarakat Rohingya, Dil Mohammad, 52. - Reuters

Berita Harian X