Selasa, 21 Januari 2020 | 5:43pm
Putera Harry menunggu untuk berjumpa dengan tetamu semasa Sidang Kemuncak Pelaburan UK-Afrika di London, semalam. - Foto AFP
Putera Harry menunggu untuk berjumpa dengan tetamu semasa Sidang Kemuncak Pelaburan UK-Afrika di London, semalam. - Foto AFP

Putera Harry tinggalkan UK, sertai Meghan di Kanada

LONDON: Putera Harry meninggalkan United Kingdom (UK) untuk menyertai isteri, Meghan dan anak mereka, Archie di Kanada semalam, selaras dengan keputusan pasangan itu untuk memulakan kehidupan baru selepas keputusan mengejut berundur dari keluarga Diraja, lapor media British.

“Duke of Sussex dipercayai sudah berlepas ke Kanada selepas menjalankan tugas rasmi terakhir sebagai anggota keluarga Diraja,” lapor akhbar harian Daily Telegraph.

Akhbar tabloid Sun pula melaporkan, Harry menaiki penerbangan ke Kanada pada jam 5.30 petang (waktu tempatan) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow dan dijadualkan bertemu isteri dan anaknya di Vancouver, hari ini.

“Pemergiannya ke Kanada dilihat sebagai simbolik, berlaku dua hari selepas Istana Buckhingham membuat pengumuman bahawa mereka memutuskan hubungan rasmi dengan pasangan Duke dan Duchess of Sussex itu susulan keputusan dibuat suami isteri berkenaan,” lapor Telegraph.

Terdahulu, cucunda Ratu Elizabeth II yang juga pewaris keenam takhta Diraja itu menghadiri Sidang Kemuncak Pelaburan UK - Afrika di London dan dilihat berada dalam keadaan ceria ketika bertemu Presiden Malawi dan Mozambique, serta Perdana Menteri Maghribi.

Beliau turut mengadakan mesyuarat tidak rasmi secara tertutup dengan Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, selaku penganjur acara.

Akhbar Daily Mail melaporkan, Harry tidak hadir ke majlis makan malam di Istana Buckhingham bagi meraikan semua pemimpin negara Afrika, sebagai menghormati abangnya, Putera William selaku penganjur acara.

Harry dan isterinya Meghan, ketika ini dikenali sebagai Duke dan Duchess of Sussex menarik diri dari mewakili keluarga Diraja British, dalam krisis yang menggegarkan institusi berusia ratusan tahun itu.

Pada Ahad lalu beliau berkata, mereka tidak mahu berhenti daripada menjalankan tugas Diraja namun terpaksa akur dengan ketetapan itu jika masih memilih untuk meneruskan kehidupan sendiri tanpa bergantung kepada dana awam. - AFP

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X