Isnin, 20 Januari 2020 | 7:47am
PUTERA Harry. - Foto Reuters
PUTERA Harry. - Foto Reuters

Putera Harry dilanda kesedihan terpaksa lepas tugas Diraja

LONDON : Putera Harry semalam berkata, beliau dilanda kesedihan teramat sangat apabila terpaksa melepaskan tugas Diraja selepas memutuskan untuk memulakan kehidupan baharu dengan berdikari bersama isterinya, Meghan.

Istana Buckhingham dan Ratu Elizabeth pada Sabtu mengumumkan bahawa Harry dan Meghan, tidak lagi akan menggunakan gelaran Diraja atau menerima sebarang dana awam sebagai sebahagian daripada perjanjian bagi mengakhiri krisis yang dicetuskan pasangan itu, apabila membuat pengumuman mahu menarik diri daripada menjalankan tugas rasmi serta meluangkan lebih banyak masa di Amerika Utara.

Dalam ucapannya di majlis amal Sentebale, Harry yang kelihatan begitu sedih berkata, keputusan akhir berhubung krisis itu bukan sesuatu yang dingini.

“Harapan kami ialah terus berkhidmat untuk baginda Ratu, kerajaan Komanwel dan tentera tanpa sebarang dana awam. Malangnya ia tidak mungkin berlaku.

“Saya menerima semua ini kerana ia tidak mengubah siapa atau komitmen saya. Namun saya berharap anda semua faham apa yang berlaku, bahawa saya akan berundur dari semua yang dimiliki dan memulakan langkah baharu untuk satu kehidupan lebih aman pada masa akan datang,” kata pewaris keenam takhta Diraja Britain itu.

Di bawah perjanjian itu, Harry akan kekal sebagai seorang putera dan pasangan terbabit akan mengekalkan gelaran Duke dan Duchess of Sussex untuk memulakan kehidupan baharu, iaitu membahagikan masa antara Amerika Utara dan Britain, namun tidak akan mengambil bahagian dalam sebarang acara rasmi atau lawatan Diraja pada masa depan.

“Saya mahu anda semua mendengar daripada mulut saya sendiri, bukan sebagai Putera atau Duke, tetapi Harry yang anda lihat membesar sejak 35 tahun.

“United Kingdom (UK) ialah rumah dan tempat yang amat saya kasihi. Ia sama sekali tidak akan berubah.

“Adalah amat menyedihkan apabila ia harus berakhir seperti ini,” katanya. - Reuters

Berita Harian X