Ahad, 19 Januari 2020 | 8:25am
PUTERA Harry (kanan) dan isterinya, Meghan. - Foto AFP
PUTERA Harry (kanan) dan isterinya, Meghan. - Foto AFP

Putera Harry dan Meghan akan melepaskan gelaran diraja

LONDON: Putera Harry dan isterinya, Meghan, bersetuju melepaskan gelaran diraja dan penerimaan dana awam dalam persefahaman dengan Ratu Elizabeth, bagi membolehkan mereka menghabiskan lebih banyak masa di Kanada.

Pengumuman bersejarah dari Istana Buckingham itu dibuat selepas perbincangan sejak beberapa minggu lalu bagi menangani tindakan mengejut pasangan terbabit untuk berundur daripada tugas rasmi diraja.

Ini bermakna Harry selaku cucu kepada Ratu Elizabeth II dan isterinya, pelakon berbangsa Amerika Syarikat (AS), tidak akan lagi menggunakan gelaran ‘Yang Mulia’, nasib sama seperti ibunya, mendiang Puteri Diana, selepas bercerai dengan Putera Charles pada 1996.

Ratu Elizabeth, 93, dalam satu kenyataan bertitah, keputusan itu dicapai selepas rundingan berbulan lamanya dan perbincangan terbaru, di mana satu persefahaman dicapai bagi menyokong keputusan cucunya serta keluarga.

“Beta menyedari cabaran yang mereka hadapi berikutan pengamatan ketara terhadap kehidupan mereka sejak dua tahun lalu dan menyokong keputusan mereka untuk jalani hidup yang lebih bebas,” titahnya.

Harry dan Meghan, yang sebelum ini dikenali sebagai Duke dan Duchess of Sussex, menyaman beberapa akhbar Oktober lalu kerana menceroboh kehidupan peribadi mereka.

Dalam kenyataan berasingan, Istana Buckingham memaklumkan Duke dan Duchess of Sussex tidak akan lagi menggunakan gelaran diraja itu kerana bagi tujuan rasmi, tidak lagi dianggap sebagai mewakili anggota keluarga diraja.

“Seperti mana dipersetujui, mereka tidak akan terbabit dengan tugas diraja, menerima pangkat ketenteraan rasmi selain tidak lagi menerima dana awam bagi tugas diraja.

“Mereka juga perlu membayar balik £2.4 juta (RM12.5 juta) wang pembayar cukai, yang digunakan bagi mengubah suai kediaman mereka, Frogmore Cottage, berhampiran Istana Windsor.

Media British menyifatkan keputusan terbaru Istana Buckingham itu sebagai Ratu Elizabeth menghukum Harry dan Meghan berikutan perbuatan mereka, dengan ada yang menggelarnya ‘Megxit’, sempena Brexit atau tindakan Britain meninggalkan Kesatuan Eropah (EU). - AFP

Berita Harian X