Ahad, 12 Januari 2020 | 10:37am
PUTERA Harry dan isteri, Meghan. - Foto Reuters
PUTERA Harry dan isteri, Meghan. - Foto Reuters

Ratu Elizabeth panggil Putera Harry untuk berbincang

LONDON: Ratu Elizabeth memanggil cucunya, Putera Harry untuk mesyuarat bagi membincangkan perancangan masa depan untuknya dan isteri Meghan berikutan pengumuman mengejut pasangan itu untuk mengundurkan diri dari tugas kerajaan.

  

Ayah Putera Harry, Putera Charles yang juga pewaris takhta, dan abangnya Putera William, juga akan menghadiri mesyuarat itu, yang akan berlangsung esok di penginapan Ratu Elizabeth di Sandringham, Norfolk, timur England, kata sumber Buckingham Palace kepada Reuters.

  

Meghan, bekas pelakon TV Amerika, akan cuba menyertai mesyuarat itu melalui telefon dari Kanada di mana dia kembali pada awal minggu lalu untuk bersama anak lelaki pasangan itu, Archie.

  

Harry dan Meghan, secara rasmi dikenali sebagai Duke dan Duchess of Sussex, mengejutkan seluruh keluarga diraja pada Rabu lalu dengan mengumumkan secara terbuka mahu "model kerja baharu" yang membolehkan mereka menghabiskan lebih banyak masa di Amerika Utara dan berdikari dari segi kewangan.

Mereka tidak berunding dengan ratu berusia 93 tahun itu atau anggota keluarga lain sebelum membuat pengumuman di laman web baharu, sussexroyal.com, tindakan yang menyakiti dan mengecewakan ratu dan anggota keluarga, menurut sumber diraja.

  

Mesyuarat esok akan menjadi yang pertama untuk kerabat diraja kanan bertemu secara bersemuka untuk membincangkan kebimbangan yang dibangkitkan oleh Harry dan Meghan. - REUTERS

Berita Harian X