X
Sabtu, 11 Januari 2020 | 9:54am
ISTERI Putera Harry, Meghan. - Foto AFP
ISTERI Putera Harry, Meghan. - Foto AFP

Meghan kembali ke Kanada

LONDON: Isteri Putera Harry, Meghan kembali ke Kanada, susulan pengumuman mengejutkan pasangan berkenaan untuk berhenti daripada menjalankan tugas rasmi keluarga diraja.

Duke dan Duchess of Sussex itu menghabiskan cuti Krismas di Kanada bersama-sama putera mereka, sebelum kembali dengan pengumuman mahu melepaskan tugas rasmi sebagai anggota keluarga diraja.

Akhbar Daily Mail melaporkan, Meghan pulang ke Kanada Khamis lalu tanpa sebarang niat untuk berada lebih lama di Britain.

“Saya boleh sahkan bahawa Duchess berada di Kanada,” kata jurucakap pasangan itu, tanpa mengesahkan laporan Daily Mail bahawa Harry bakal menyusul untuk bersama isteri dan anaknya yang berusia lapan bulan.

Beberapa media Kanada melaporkan bahawa Meghan kembali ke Vancouver, iaitu lokasi percutian mereka sekeluarga dan tempat Archie ditinggalkan bersama penjaganya.

Beberapa anggota kanan keluarga Diraja terkejut dengan pengumuman pasangan terbabit Rabu lalu.

Di Washington, Presiden Donald Trump dalam kenyataan kepada Fox News melahirkan rasa sedih berikutan pengumuman itu.

“Saya amat menghormati baginda Ratu Elizabeth. Saya tidak fikir ia seharusnya berlaku,” katanya.

Susulan pengumuman, pejabat Ratu Elizabeth mengeluarkan kenyataan yang berkata, terdapat beberapa isu rumit yang mengambil sedikit masa untuk diselesaikan sepenuhnya. - AFP

Berita Harian X