Khamis, 9 Januari 2020 | 12:11pm
Gambar fail Putera Harry dan isteri, Meghan Markle memangku anak lelaki mereka, yang dilahirkan pada hari Isnin di Dewan St George di Windsor Castle, di Berkshire, Britain tahun lalu - Foto REUTERS
Gambar fail Putera Harry dan isteri, Meghan Markle memangku anak lelaki mereka, yang dilahirkan pada hari Isnin di Dewan St George di Windsor Castle, di Berkshire, Britain tahun lalu - Foto REUTERS

Harry, Meghan berundur daripada barisan hadapan tugas diraja

LONDON: Putera Harry dan isteri, Meghan Markle, mengejutkan keluarga diraja British apabila memutuskan untuk berundur daripada barisan hadapan tugas Diraja, tanpa berbincang dengan Ratu Elizabeth II.

Dalam satu pengumuman mengejutkan, pasangan itu memaklumkan akan menghabiskan waktu di Amerika Utara dan memutuskan hubungan dengan media yang sudah lama terjalin.

Media melaporkan Duke dan Duchess of Sussex membuat kenyataan itu tanpa memaklumkan sama ada kepada nenek Harry atau bapanya, Putera Charles.

Berita mengejutkan itu menyusuli beberapa tahun yang mencabar buat pasangan itu, yang secara terbuka mengakui bergelut dalam perhatian umum dan semakin terpisah daripada abang Harry, Putera William.

“Kami berhasrat untuk mengundur diri daripada menjadi ahli ‘kanan’ anggota keluarga Diraja dan berusaha untuk tidak bergantung pada kewangan, di samping terus menyokong Baginda Ratu,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Buckingham.

“Kami memilih untuk membuat perubahan tahun ini dengan memulakan peranan baharu yang progresif dalam institusi.

“Ketika ini, kami merancang untuk menyeimbangkan masa kami antara United Kingdom dan Amerika Utara,” katanya dalam pengumuman yang dilihat mengejutkan keluarga diraja itu.

Istana Buckingham mengeluarkan kenyataan kedua dalam tempoh satu jam 40 minit kemudian, menyatakan perbincangan dengan Harry dan Meghan berhubung isu itu ‘berada pada peringkat awal.’

“Kami memahami hasrat mereka untuk mengambil pendekatan berbeza, namun ini adalah isu rumit yang akan mengambil masa untuk diselesaikan,” kata kenyataan itu.

Difahamkan, Istana Buckingham berada dalam suasana kekecewaan, malah menurut BBC, terluka.

Harry, 35, dan Meghan, 38, adalah antara ahli paling kanan dalam keluarga Diraja, di samping William dan isterinya, Kate Middleton, yang dilihat sebagai masa depan monarki.

Khabar angin mengenai suasana dingin dengan pasangan Sussex itu timbul pada Oktober apabila Harry, pewaris keenam takhta Britain, mengaku dia dan William ‘tidak sependapat’, selain ada bertelagah antara satu sama lain. - AFP

Berita Harian X