Rabu, 18 Disember 2019 | 3:47pm
Nora Anne didapati hilang dari Dusun Resort, tidak jauh dari ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur pada 4 Ogos, sehari selepas keluarganya mula menginap di lokasi percutian itu. - Foto fail
Nora Anne didapati hilang dari Dusun Resort, tidak jauh dari ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur pada 4 Ogos, sehari selepas keluarganya mula menginap di lokasi percutian itu. - Foto fail

Ibu bapa Nora Anne percaya kematian anak ada unsur jenayah

DUBLIN: Ibu bapa kepada remaja perempuan berketurunan Irish - Perancis yang mayatnya ditemui di dalam hutan di Malaysia berkata, mereka percaya terdapat unsur jenayah dalam kehilangan mangsa, walaupun polis mengklasifikasikan insiden berkenaan sebagai kes orang hilang.

Mayat Nora Anne Quoririn, 15 ditemui tanpa seurat benang di dalam gaung di sebuah hutan hujan, kira-kira 2.5 kilometer daripada resort yang menjadi lokasi percutian mereka sekeluarga.

Ibu bapa Nora Anne, Meabh dan Sebastian Quorin dalam wawancara kepada stesen penyiaran Ireland, RTE berkata, sukar untuk dipercayai bahawa Nora yang memiliki masalah pembelajaran, mampu berjalan jauh ke dalam hutan.

“Kami percaya terdapat unsur yang sangat kompleks dalam kejadian ini. Kami sudah tegaskan dari awal bahawa kami percaya ada unsur jenayah ke atas apa yang berlaku,” katanya dalam wawancara yang disiarkan semalam.

Menurut polis pada Ogos lalu, keputusan bedah siasat mendapati Nora Anne berada dalam kebuluran dan meninggal dunia kerana kecederaan dalaman selepas berada di dalam hutan selama seminggu, serta tiada unsur menunjukkan mendiang diculik atau diserang secara seksual.

Ibu bapa Nora Anne bagaimanapun berkata semalam, mereka mahu mencari jawapan dan keadilan kerana adalah sukar untuk membayangkan secara mental atau fizikal, bagaimana remaja berkenaan boleh berjalan sejauh itu.

“Kami masih berusaha kerana adalah sukar untuk mendapatkan sumber yang mampu menyiasat dengan pantas kewujudan sebarang unsur jenayah,” kata mereka kepada RTE.

Nora Anne didapati hilang dari Dusun Resort, tidak jauh dari ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur pada 4 Ogos, sehari selepas keluarganya mula menginap di lokasi percutian itu.

Ratusan orang, helikopter dan anjing pengesan menyertai misi mencari remaja sekolah itu, yang hanya mampu menulis beberapa patah perkataan dan memiliki perbendaharaan kata atau komunikasi lisan secara terhad.

Ibu bapa mendiang juga memberitahu RTE, mereka percaya pihak berkuasa Malaysia menyedari bahawa Nora adalah remaja kelainan upaya dan bersedia menunggu keputusan penuh hasil bedah siasat yang dijalankan di Malaysia, serta autopsi kedua selepas mayatnya diterbangkan ke London. - AFP

Berita Harian X