Isnin, 25 November 2019 | 12:10pm
Gambar menunjukkan Pemeriksa Situasi Kecemasan Umum (IGSU) menyelamatkan biri-biri dari kapal pengangkut karam di luar pantai Romania semalam. -Foto AFP
Gambar menunjukkan Pemeriksa Situasi Kecemasan Umum (IGSU) menyelamatkan biri-biri dari kapal pengangkut karam di luar pantai Romania semalam. -Foto AFP

Kapal bawa 14,600 biri-biri karam di Romania

BUCHAREST: Penyelamat berusaha memindahkan 14,600 biri-biri yang berada dalam sebuah kapal kargo karam di Laut Hitam di luar pantai Romania, kata pihak berkuasa.

Kapal Queen Hind dalam perjalanan ke Arab Saudi itu terbalik tanpa diketahui puncanya sejurus meninggalkan pelabuhan Midia, Romania.

Kru kapal terdiri daripada 20 rakyat Syria dan seorang dari Lubnan diselamatkan bersama 32 biri-biri, dua daripadanya ditarik dari laut, kata jurucakap pasukan penyelamat, Ana-Maria Stoica.

Wakil NGO Animals International mendakwa, kapal Queen Hind terlebih muatan, menambah ia sudah mengalami masalah enjin sejak Disember tahun lalu. -Foto AFP
Wakil NGO Animals International mendakwa, kapal Queen Hind terlebih muatan, menambah ia sudah mengalami masalah enjin sejak Disember tahun lalu. -Foto AFP

“Operasi menyelamat sedang diteruskan. Kami berharap biri-biri dalam kapal masih hidup,” katanya.

Katanya, penyelamat disokong tentera, polis dan penyelam cuba untuk membetulkan kedudukan kapal yang mengibarkan bendera Palau dan menariknya ke pelabuhan.

Persatuan penternak dan pengeksport ternakan hidup Romania, Acebop menggesa siasatan segera dilakukan.

“Persatuan kami terkejut dengan bencana ini. Jika kita tidak boleh melindungi ternakan hidup ketika pengangkutan jarak jauh, kita seharusnya melarangnya,” kata Presiden Acebop, Mary Pana dalam satu kenyataan.

Wakil NGO Animals International, Gabriel Paun mendakwa, kapal itu terlebih muatan, menambah Queen Hind sudah mengalami masalah enjin Disember tahun lalu.

“Satu siasatan perlu dibuka tanpa berlengah,” katanya. Romania, yang menyertai Kesatuan Eropah (EU) pada 2007 adalah antara negara anggota paling miskin.

Aktivis melabel kapal pengangkut ternakan itu, kira-kira 100 yang berlepas dari Midia setiap tahun adalah ‘kapal mati,’ mengatakan biri-biri berisiko dimasak hidup-hidup dalam kapal ketika musim panas.

Pada Julai lalu, Pesuruhjaya Eropah yang bertanggungjawab untuk kesihatan dan keselamatan makanan, Vytenis Andriukaitis, menuntut Bucharest berhenti mengangkut 70,000 biri-biri ke negara Teluk, memetik kebajikan haiwan.

Beliau meminta EU menyiasat amalan Romania itu. -AFP

Berita Harian X