VENICE: Itali mengisytiharkan darurat di Venice semalam selepas kejadian pasang surut melanda gereja, kedai dan rumah, menyebabkan kerosakan bernilai jutaan euro kepada bandar raya UNESCO itu.
Perdana Menteri, Giuseppe Conte, berkata Kabinet meluluskan perisytiharan itu dan mengarahkan bantuan segera bernilai AS$22 juta (RM91 juta) bagi ‘campur tangan paling penting’ di bandar raya itu selepas banjir Selasa lalu.
Bagaimanapun, pelancong masih bersiar-siar di sekitar Dataran St Mark yang dinaiki air, mengambil swafoto dengan memakai but plastik dan mengambil kesempatan apabila cuaca buruk bertukar tenang seketika.

Siren yang memberi amaran mengenai banjir berbunyi di bandar raya itu awal semalam tetapi paras air kekal rendah berbanding kejadian pasang surut Selasa lalu, tertinggi dalam masa 50 tahun.
Conte, yang menyifatkan banjir itu sebagai ‘tamparan kepada jantung negara berkenaan’, bertemu Datuk Bandar Venice dan perkhidmatan kecemasan sebelum menaiki bot laju untuk melawat perniagaan dan penduduk yang terjejas akibat pasang surut.
Rumah penduduk yang mengalami kerosakan diberi bantuan kerajaan sebanyak 5,000 euro (RM22,000), manakala pemilik restoran dan kedai menerima sehingga 20,000 euro (RM91,000) dan boleh memohon bantuan tambahan selepas itu.
Beberapa muzium masih ditutup kepada umum semalam. — AFP
