Rabu, 9 Oktober 2019 | 2:01pm
Perdana Menteri Britain, Boris Johnson. - Foto AFP

Kemelut Brexit: Lima menteri dalam senarai letak jawatan

LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, berhadapan pemberontakan baharu daripada Kabinetnya berhubung kebimbangan pengunduran dari Kesatuan Eropah (EU) tanpa sebarang perjanjian, dengan lima anggota Kabinet berada dalam ‘senarai peletakan jawatan’, lapor akhbar The Times hari ini.

Setiausaha Kebudayaan, Nicky Morgan; Menteri Britain bagi Ireland Utara, Julian Smith; Setiausaha Kehakiman, Robert Buckland; Menteri Kesihatan, Matt Hancock dan Peguam Negara, Geoffrey Cox, berada dalam senarai berkenaan, menurut laporan.

Seorang menteri Kabinet tidak dinamakan, dipetik akhbar itu sebagai berkata ‘ramai’ ahli Konservatif di Parlimen akan meletak jawatan jika Brexit diteruskan tanpa sebarang perjanjian.

“Kabinet akan menetapkan strategi, bukan pegawai tidak dilantik.

“Jika ini cubaan melakukannya, ia akan gagal,” laporan memetik seorang lagi menteri Kabinet sebagai berkata. — Reuters

Berita Harian X