Selasa, 8 Oktober 2019 | 5:02pm
Luc Besson bersama aktres Sand Van Roy. -Foto Agensi

Pengarah Perancis nafi tuduhan rogol

PARIS: Pengarah filem Perancis, Luc Besson semalam menafikan merogol atau memberi dadah kepada seorang aktres muda, kali pertama pembuat filem ‘The Fifth Element’ itu bercakap secara terbuka mengenai tuduhan ke atasnya.

Seorang hakim membuka semula satu siasatan rogol terhadap jutawan filem terbabit Jumaat lalu, lapan bulan selepas pendakwa raya ibu kota ini menggugurkan kes dibawa aktres kelahiran Belanda-Belgium, Sand Van Roy, yang mendakwa Besson berulang kali merogolnya dalam tempoh dua tahun.

Pelakon itu antara sembilan wanita yang mendakwa diserang atau diganggu pengarah dan produser berkuasa itu.

Van Roy, 28, memegang peranan kecil dalam filem arahan produser itu, ‘Taxi 5’ dan ‘Valerian and the City of a Thousand Planets.’

Besson mengaku menjalin hubungan dengan Van Roy namun menganggapnya sebagai fantasi.

“Kes ini satu pembohongan dari A hingga Z. Saya tidak merogol wanita itu, saya tidak pernah merogol wanita sepanjang hidup saya.

“Saya tidak pernah naik tangan kepada wanita. Saya tidak pernah mengancam seorang wanita. Saya tidak pernah memberi dadah kepada wanita ini seperti yang didakwa. Ia satu pembohongan,” katanya dalam petikan wawancara kepada BFMTV, yang disiarkan hari ini.

Pembuat filem terkenal ‘Nikita’ itu turut menafikan mengganggu wanita atau menahan mereka tanpa kerelaan.

Bagaimanapun, Besson, 60, berkata, hubungannya dengan Van Roy adalah satu kesilapan.

“Saya mengkhianati isteri dan anak saya. Ia tidak berlaku sekali, tetapi beberapa kali sepanjang 20 tahun perkahwinan,” katanya.

Van Roy kali pertama membuat laporan polis pada Mei 2018 selepas bermalam dengan Besson di sebuah hotel mewah ibu kota ini.

Dua bulan kemudian, aktres itu mendakwa dirogol empat kali sepanjang dua tahun apabila ‘dalam hubungan profesional terkawal’ dengan pengarah terbabit. -AFP

Berita Harian X