Selasa, 8 Oktober 2019 | 8:21am
SEBUAH trak curi dipandu merempuh beberapa kereta di tengah bandar raya Limburg semalam. - Foto AFP

Trak curi rempuh kereta, 17 cedera

LIMBURG: Sebuah trak curi dipandu merempuh beberapa kereta di tengah bandar raya Limburg semalam, menyebabkan beberapa orang cedera.

Pemandu trak itu berjaya ditahan, kata polis.

“Berdasarkan apa yang kami tahu dan keterangan saksi, lelaki itu mencuri trak itu pada jam 5.20 petang waktu tempatan,” kata polis dalam kenyataan.

Tidak lama kemudian, ia merempuh sembilan kereta yang berhenti di lampu isyarat berhampiran stesen kereta api utama Limburg di negeri Hesse.

“Beberapa mangsa yang cedera dirawat di hospital, dan pemandu, yang kini dalam tahanan, cedera ringan,” kata polis.

Agensi berita Jerman, DPA, memetik polis daerah, melaporkan 17 cedera termasuk pemandu, seorang dalam keadaan kritikal.

Polis berkata, masih terlalu awal untuk membuat spekulasi mengenai motif kejadian.

“Buat masa ini, kami tidak mempunyai maklumat mencukupi mengenai motif kejadian.

“Siasatan berterusan termasuk menyoal saksi dan mengumpul bukti,” kata polis. — AFP

Berita Harian X