Isnin, 7 Oktober 2019 | 9:47am

Lelaki serah diri selepas bunuh lima sekeluarga

VIENNA: Seorang lelaki berusia 25 tahun berada dalam tahanan polis selepas membunuh bekas teman wanitanya, keluarga dan teman lelaki baharu mangsa dalam kejadian di bandar peranginan Alpine di Kitzbuehel.

Agensi berita Austria, APA, melaporkan lelaki berkenaan menyerah diri kepada polis di bandar Innsbruck dan mengaku membunuh lima orang semalam.

Polis berkata, suspek pergi ke rumah keluarga bekas teman wanita pada jam 4.00 pagi semalam tetapi meninggalkan kediaman itu selepas bapa mangsa membuka pintu.

Dia kemudian mengambil pistol milik saudara lelakinya dan pergi semula ke rumah mangsa.

Polis mendakwa dia menembak bapa bekas teman wanitanya sebaik mangsa membuka pintu, kemudian saudara lelaki wanita itu di bilik tidurnya.

Selepas membunuh ibu bekas teman wanitanya, lelaki berkenaan memanjat balkoni memasuki bilik tidur wanita itu dan teman lelakinya dan membunuh mereka.

Wanita itu dan teman lelaki baharunya masing-masing berusia 19 dan 24 tahun. — Agensi

Berita Harian X