Ahad, 6 Oktober 2019 | 8:56am
Foto disediakan oleh Joint Press Corps menunjukkan perwakilan Korea Utara, termasuk perunding utama Kim Myong-gil, meninggalkan kedutaan Korea Utara di Stockholm, Sweden bagi mempersiapkan diri mengenai rundingan nuklear dengan Amerika Syarikat. - Foto EPA

Dialog AS-Pyongyang di Sweden temui jalan buntu

STOCKHOLM: Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) meninggalkan meja rundingan nuklear di Sweden dengan penilaian berbeza yang disifatkan Pyongyang sebagai gagal.

AS sebaliknya menganggap ia satu perbincangan yang baik selepas menerima undangan tuan rumah, Sweden untuk menyambung semula dialog dalam masa dua minggu lagi, kata jurucakap Jabatan Negara AS, Morgan Ortagus.

Ia perkembangan terbaru selepas kali terakhir pemimpin Utara, Kim Jong-un dan Presiden Donald Trump bertemu Februari lalu dan selepas Pyongyang melakukan satu lagi ujian peluru berpandu balistik, Rabu lalu.

“Perbincangan itu tidak memenuhi jangkaan kami dan akhirnya gagal mencapai sebarang persetujuan. Ia kerana AS enggan mengubah sikap lamanya itu,” kata ketua perunding Utara, Kim Myong Gil kepada wartawan di Stockholm.

“Kami berada di persimpangan sama ada untuk meneruskan dialog atau konfrontasi.”

AS diwakili rakan sejawat Myong Gil, wakil khas Presiden Donald Trump, Stephen Biegun.

Ortagus dalam satu kenyataan berkata, AS membentangkan beberapa inisiatif ke arah perkembangan berhubung kenyataan yang dicapai pada pertemuan pertama Trump-Jong-un di Singapura tahun lalu.

“Ia adalah isu berat dan memerlukan komitmen yang kuat daripada kedua-dua negara. AS mempunyai komitmen itu,” kata Ortagus. - AFP

Berita Harian X