Selasa, 24 September 2019 | 10:57am

Thomas Cook bantu kendali umat Islam tunai Haji

LONDON: Tawaran membantu umat Islam mengunjungi Makkah untuk menunaikan Haji adalah pakej percutian pertama dikendali peneraju agensi pelancongan moden dunia, Thomas Cook, pada 1880-an.

Syarikat berusia 178 tahun itu mengisytiharkan muflis semalam Isnin selepas gagal mencapai kesepakatan untuk penyelamatan terakhir.

Ia yang bergelut dengan persaingan sengit dalam talian selama beberapa waktu dan yang menyalahkan ketidakpastian Brexit sebagai punca kejatuhan dalam tempahan baru-baru ini, berusaha keras mencari £200 juta (RM1.04 bilion) daripada pelabur swasta untuk mengelakkan kejatuhan.

Satu tiket daripada Thomas Cook, bertarikh 1886, melayakkan pemegang melakukan perjalanan pergi balik dari Mumbai ke Jeddah.

Pada kemuncak empayar Britain, kerajaan mendapatkan bantuan Thomas Cook menguruskan perjalanan jutaan rakyatnya yang tinggal di India.

Ketika penjajahan Britain, lebih separuh penduduk dunia dari barat Afrika ke Asia Tenggara beragama Islam.

Ia menyebabkan tokoh sejarawan seperti Ratu Victoria dan Winston Churchill amat berminat dengan ibadat Haji malah menandakan ia dalam kalendar mereka.

Penyelidikan yang dibuat sejarawan St John’s College di Universiti Cambridge, Dr John Slight, mendapati ibadat Haji menjadi perhatian utama Britain ketika zaman penjajahan.

Thomas Cook dipanggil kerajaan pada 1886 untuk menguruskan keadaan selepas skandal kapal jemaah Haji hampir karam yang menjadi tajuk muka depan akhbar The Times.

Firman itu diberi kontrak untuk mengatur perjalanan bagi umat Islam di India untuk menunaikan Haji.

Bagaimanapun, selepas berhadapan kerugian, firma berkenaan terpaksa menarik diri pada 1893.

Pengelola Arkib Syarikat Thomas Cook, Paul Smith, berkata firma itu berbangga pernah memainkan peranan dalam tradisi yang masih ‘kekal kukuh’ hari ini. — Agensi

Berita Harian X